Acara Naikkan Bendera Buka Tirai PAU 2022 Secara Rasmi

Politics
13 Jan 2023 • 8:38 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Bendera UMNO 'Sang Saka Bangsa' dinaikkkan dengan iringan nyanyian lagu rasmi UMNO, 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' oleh perwakilan - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Bendera UMNO dinaikkan di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini, sebagai simbolik Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) dilancarkan secara rasmi. 

Upacara berkenaan dimulakan oleh Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad diikuti Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan, berlatarkan lagu rasmi sayap masing-masing.

image is not available
Upacara berkenaan dimulakan oleh Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad diikuti Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan, berlatarkan lagu rasmi sayap masing-masing - Gambar oleh Azim Rahman

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tiba pada jam 8.08 pagi kemudiannya menaikkan bendera UMNO 'Sang Saka Bangsa' dengan diiringi nyanyian lagu rasmi UMNO, 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' oleh perwakilan.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Selepas ditunda Disember lalu, Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) membuka gelanggangnya bermula Selasa hingga esok, sebagai medan perbincangan dan perutusan demi kebaikan serta kelangsungan parti keramat itu.

image is not available
Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tiba pada jam 8.08 pagi kemudiannya menaikkan bendera UMNO 'Sang Saka Bangsa' dengan diiringi nyanyian lagu rasmi UMNO, 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' oleh perwakilan - Gambar oleh Azim Rahman

Pelbagai agenda direncana sempena acara empat hari bertempat di WTCKL itu dengan tumpuan utama perwakilan, ahli dan pemerhati adalah pada hari ini bagi mendengar ucapan dasar Presiden serta mengikuti Persidangan Perhimpunan Agung Khas UMNO (Pindaan Perlembagaan).

Hari pertama PAU 2022 dimulakan dengan perasmian persidangan sayapnya, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri pada kira-kira jam 9 malam, disusuli ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tirai hari kedua dibuka seawal jam 9 pagi dengan beberapa acara, termasuk ucapan dasar Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri, selain membentang dan membahaskan usul.

Dua hari terakhir pula menyaksikan tentatif pembentangan dan perbahasan usul.

image is not available
Hari pertama PAU 2022 dimulakan dengan perasmian persidangan sayapnya, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri pada kira-kira jam 9 malam, disusuli ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan - Gambar oleh Azim Rahman

Seramai 5,523 perwakilan dianggarkan menghadiri PAU 2022, iaitu 2,648 di perhimpunan utama, Wanita (950), Pemuda (967) dan Puteri (958).

Sejumlah 68 agensi media cetak dan elektronik turut mendaftar bagi membuat liputan di PAU 2022, iaitu masing-masing 50 agensi tempatan dan 18 agensi antarabangsa, melibatkan jumlah keseluruhan 517 petugas.

PAU 2022 yang dijadual diadakan pada 21 hingga 24 Disember tahun lalu, ditangguhkan ke bulan ini, memandangkan tarikh tersebut bersamaan dengan cuti persekolahan dan ramai perwakilan sudah merancang percutian masing-masing.

Tempoh itu juga tidak sesuai ekoran negara dilanda musim tengkujuh, sehingga menyebabkan beberapa negeri mengalami banjir teruk. – Getaran, 13 Januari 2023