ACCA mahu kenaikan nilai ambang pengecualian audit dibuat berperingkat bermula RM500,000
herman
13/03/2024 - 15:40
KUALA LUMPUR 13 Mac - Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) mahu nilai ambang pendapatan syarikat yang akan dikecualikan audit dinaikkan secara berperingkat dan bukannya terus diubah kepada RM3 juta seperti dinyatakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Ketua Portfolio Maritim Asia Tenggara ACCA, Andrew Lim berkata, jika nilai ambang pendapatan syarikat yang dikecualikan audit dinaikkan tanpa berperingkat dikhuatiri memberikan implikasi mendalam terhadap aspek integriti dan kebolehpercayaan.
Katanya, ACCA bagaimanapun bersetuju dengan SSM bahawa penting untuk mencapai keseimbangan antara memberikan pelepasan kos kepada perniagaan kecil dengan memastikan pengawasan yang mencukupi ke atas pelaporan kewangan.
"ACCA mencadangkan pendekatan berperingkat ke atas usul menaikkan ambang RM3 juta daripada paras semasa RM100,000 dalam tempoh lima tahun, bermula dengan ambang RM500,000," katanya dalam kenyataan media hari ini.
SSM dilaporkan bercadang untuk menaikkan ambang syarikat yang dibenarkan pengecualian audit yang akan membantu mengurangkan kos operasi perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Antaranya mencadangkan mengecualikan syarikat yang mempunyai pendapatan tahunan dan/atau jumlah aset tidak melebihi RM3 juta dalam penyata kedudukan kewangan semasa dan dalam tempoh dua tahun kewangan yang lalu daripada audit.
Peraturan semasa memberi pengecualian kepada syarikat tidak aktif dan mereka yang mempunyai hasil di bawah RM100,000, aset di bawah RM300,000 dan dengan lima atau kurang pekerja.
Sementara itu, Andrew berkata, ACCA juga memberi amaran tentang persepsi yang salah terhadap nilai audit.
"Kami bimbang bahawa pengendalian audit bebas telah digabungkan dengan beban pentadbiran.
"SSM dan pengawal selia lain perlu menonjolkan kepentingan dan faedah audit kepada kedua-dua syarikat itu sendiri dan syarikat yang mereka berurusan seperti bank, pihak berkuasa cukai atau pemiutang utama," jelasnya.
Beliau juga bimbang bahawa peningkatan mendadak dan ketara dalam ambang pengecualian audit mungkin mengurangkan daya tarikan profesion perakaunan, terutamanya untuk bakat muda.
ACCA juga menekankan tempoh masa yang pendek untuk perundingan dengan ahli dan pihak berkepentingan lain.
"Dengan peningkatan mendadak dan ketara, ini boleh mengundang risiko akibat yang tidak diingini.
"Kami berharap SSM akan melanjutkan tempoh perundingan dan libat urus dengan semua yang terjejas oleh perubahan yang dicadangkan supaya mereka mempunyai peluang untuk berkongsi pandangan," katanya.- DagangNews.com


