Siri Acer Aspire Vero merupakan salah satu daripada model komputer riba Acer yang menggunakan plastik Post Consumer Recyclable (PCR) sebagai bahan binaan untuk rangka komputer riba mereka.

Acer Malaysia hari ini telah memperkenalkan kemaskini kepada Acer Aspire Vero 14 mereka, yang kini tampil menggunakan 40 peratus plastik PCR dalam binaan komputer riba mereka, berbanding dengan 30 peratus pada model sebelumnya.
Ini termasuklah penggunaan Ocean Bound Plastic (OBP) untuk pad sesentuh OceanPad komputer riba ini yang membolehkan Acer untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida sebanyak 30 peratus sewaktu pembinaan rangka komputer riba ini. Rangka komputer riba ini juga tidak menggunakan sebarang cat yang membolehkan Acer mengurangkan pencemaran daripada molekul-molekul yang diperlukan untuk mewarnakan komputer riba.

Dari segi spesifikasi, komputer riba ini dimuatkan dengan paparan IPS 14 inci dengan resolusi Full HD dan dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core i7 generasi ke-13, memori LPDDR5 8GB ataupun 16GB dan juga storan SSD PCIe 512GB.

Sebagai sebuah komputer riba produktiviti, Acer Aspire Vero 14 ini juga dimuatkan dengan perisian produktiviti Microsoft Office 2021 Home and Student Edition secara percuma.

Dalam pada itu, Acer juga memperkenalkan program Trade-in and Go Green yang membolehkan anda untuk menukar-beli komputer-komputer lama anda untuk rebat tunai RM500 yang membolehkan anda membeli komputer riba Acer Aspire Vero 14 pada harga lebih murah.
Acer Aspire Vero 14 kini ditawarkan pada harga permulaan RM2599 dan boleh dibeli melalui kedai atas-talian Acer eStore dan juga di Shopee dan Lazada. Ia juga boleh didapati melalui kedai-kedai pengedar rasmi Acer Malaysia.
