Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba gaming mampu-milik untuk musim cuti ini, Acer Malaysia telah memeperkenalkan dua buah model dalam siri Acer Nitro V 15 yang mungkin bersesuaian dengan kemampuan anda.

Acer Nitro V 15 ini hadir dengan dua buah model, tetapi kedua-duanya hadir dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz. Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i5-13420H, 8GB memori DDR4 yang boleh dinaiktarafkan ke 32GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 512GB.

Perbezaan diantara kedua-dua model ini dapat diperlihatkan melalui penawaran kad grafik. Model yang lebih murah hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2050, dan jika anda mahukan sesuatu dengan kuasa pemprosesan grafik yang lebih berkuasa, anda juga boleh memilih untuk mendapatkan model dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4050.

Untuk pembelian yang dilakukan sebelum 31 Disember 2023 ini, Acer Malaysia turut menawarkan sebuah beg galas Nitro Urban Backpack yang bernilai RM637, langganan tiga tahun untuk perisian keselamatan komputer Trend Micro Internet Security, tetikus Logitech G Wireless dan juga kredit e-dompet Touch’n’Go selagi stok masih ada.

