Acer telah melancarkan dua komputer riba baharu di Malaysia. Ianya terdiri dengan Acer Swift Lite 14 Air dan Acer Swift 16 AI yang menawarkan prestasi berkuasa menerusi pemproses Intel Core Ultra generasi kedua, serta ciri AI terbina untuk membantu meningkatkan produktiviti. Dengan reka bentuk serba moden, kedua-duanya juga sesuai untuk golongan pelajar dan profesional yang memerlukan peranti mudah alih berprestasi tinggi.

Acer Swift Lite 14 direka dengan binaan yang nipis, bersama berat dibawah 1kg. Skrinnya menggunakan panel OLED WUXGA (1920 x 1200 piksel) dengan kadar segar semula 120Hz. Ia juga dikuasai CPU sehingga Intel Core Ultra 7 258V (dengan Intel AI Boost NPU), bersama pilihan memori 32GB LPDDR5X (terbina) dan storan dalaman sehingga 1TB PCIe Gen 4 NVMe SSD.


Komputer riba ini juga dilengkapi dengan bateri 65Wh yang mampu bertahan sehingga 29 jam, serta menyokong sistem pengecasan pantas Ia turut dilengkapi kamera web 1440p QHD IR HDR dengan teknologi TNR (Temporal Noise Reduction) untuk kualiti panggilan video yang lebih jelas. Selain itu, ciri-ciri AI seperti Acer PurifiedView, PurifiedVoice 2.0, serta integrasi Microsoft Copilot disediakan untuk meningkatkan pengalaman penggunaan dengan fungsi pintar yang mudah.



Dari aspek sambungan, komputer riba ini menawarkan 2 port USB-C (Thunderbolt 4), 1 port HDMI 2.1, 1 port USB-A, serta bicu audio 3.5mm. Ia juga menjalankan sistem operasi Windows 11 Home atau Pro sebagai pelengkap.
Acer Swift 16 AI pula menggunakan skrin OLED 3K (2880 x 1800 pixel) sebesar 16-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Ini dipadankan dengan cip Intel Core Ultra 7 256V, bersama pilihan memori 16GB LPDDR5x dan storan 1TB PCIe Gen 4 NVMe SSD.


Acer Swift 16 AI juga mempunyai bateri litium-ion 69W yang boleh beroperasi sehingga 20 jam berterusan. Dengan berat 1.5kg, Acer Swift 16 AI direka untuk mudah alih, dan ia dilengkapi dengan Windows 11 Home yang diprapasang, memastikan keserasian dengan perisian terkini dan kemas kini keselamatan.


Harga jualan bermula RM3,799 dan RM4,399 untuk Acer Swift Lite 14 AI. Manakala Acer Swift 16 AI pula bernilai RM5,699 sebuah. Bagi anda yang berminat, kedua-dua komputer riba ini sudah boleh didapati secara pratempahan melalui pengedar sah Acer Malaysia sehingga penghujung April 2025.



