“Ada Asas Lebih Kukuh” – Menteri Indonesia ‘Claim’ Durian Buah Kebangsaan Mereka

LocalFood
19 Nov 2025 • 3:07 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Bila sebut sahaja tentang durian, pasti ramai yang teruja dan ternanti-nanti musim raja buah ini.

Manakan tidak, rasa yang berlemak serta tekstur yang lembut selain mempunyai bau yang memikat membuatkan kebanyakan orang tidak sabar untuk menikmatinya.

Bukan hanya rakyat tempatan, buah durian juga nyata mempunyai peminatnya tersendiri yang datang dari luar negara termasuklah negara-negara jiran.

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa buah durian sering menjadi ‘buruan’ ramai setiap kali tiba musimnya.

Menteri Indonesia Dakwa Ada Asas Lebih Kukuh, Pengeluaran Buah Durian Lebih Tinggi Berbanding Malaysia

Terbaharu, kerajaan Indonesia mendakwa negara mereka mempunyai asas yang lebih kukuh jika dibandingkan dengan Malaysia untuk menobatkan durian sebagai buah kebangsaan  — berdasarkan data pengeluaran dan kepelbagaian spesis yang dimiliki.

Jelas Menteri Penyelaras Urusan Pangan Indonesia, Zulkifli Hasan, berdasarkan data Badan Pusat Statistik (BPS), pengeluaran durian di negara itu pada tahun 2024 adalah lebih jauh mengatasi Malaysia.

“Indonesia menghasilkan hampir dua juta tan durian pada 2024. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.

“Dengan fakta ini, saya percaya durian ialah Buah Kebangsaan Indonesia,” katanya.

Data dari BPS menunjukkan Indonesia telah mengeluarkan 1.96 juta tan durian pada tahun 2024 iaitu angka tertinggi sepanjang tempoh lima tahun dengan kawasan tumpuan pengeluaran di Jawa, Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi.

Malah, beberapa laporan serantau pula menyatakan Malaysia menghasilkan jumlah yang lebih rendah walaupun nilai eksportnya meningkat khususnya dari jenis durian premium seperti Musang King.

Durian Simbol Warisan Budaya & Sumber Rezeki Petani Indonesia

Tegas Zulkifli lagi, durian bukan hanya sekadar komoditi pertanian namun ia merupakan simbol warisan budaya serta sumber rezeki petani di Indonesia.

“Jika kita bercakap tentang simbol kebangsaan, ia mesti berasaskan data dan realiti. Durian Nusantara ialah kekuatan kita di Asia.

“Mengikut data penyelidikan, Indonesia memiliki 21 daripada 27 spesies durian yang dikenal pasti di dunia, dan sehingga 2024, sebanyak 114 varieti unggul telah didaftarkan,” jelasnya.

DMA Malaysia Telah Cadang Durian Sebagai Buah Kebangsaan Malaysia

Sebelum ini, Durian Manufacturer Association (DMA) mewakili pengeluar durian tempatan telah mencadangkan durian sebagai buah kebangsaan di Malaysia.

Menurut Sinar Harian yang memetik The Straits Times, DMA secara rasmi telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menetapkan durian sebagai buah kebangsaan.

Menurut Presiden DMA, Eric Chan, durian mempunyai nilai simbolik yang mendalam terhadap rakyat Malaysia.

“Setiap rakyat Malaysia mempunyai kisah tentang durian memori, tradisi, sesuatu yang menyatukan kita semua,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, beberapa varieti durian premium yang terdapat di Malaysia seperti Musang King (D197), Black Thorn (D200) dan D24 telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sekaligus menjadikan Malaysia sebagai antara negara pengeluar durian berkualiti di dunia.

Malah, Perbadanan Harta Intelek Malaysia juga telah melanjutkan status Geographical Indication (GI) bagi durian jenis Musang King selama 10 tahun sehingga Mac 2034 untuk mengukuhkan lagi perlindungan terhadap jenama tersebut dan mengelakkan tuntutan negara lain.

“Perlanjutan GI ini ibarat cap pasport untuk Musang King.

“Ia membuktikan durian ini benar-benar berasal dari Malaysia dan merupakan hasil usaha petani serta pengeluar yang berjaya membina jenama global daripada akar tempatan,” terangnya lagi.

Penetapan Buah Durian Sebagai Buah Kebangsaan Perlu Kajian Menyeluruh

Namun, Ketua Jabatan Pertanian, Nor Sam Alwi menjelaskan pihak kementerian ada menerima permohonan rasmi DMA.

Walau bagaimanapun tegasnya, penetapan buah durian sebagai buah kebangsaan memerlukan kajian menyeluruh.

Jelasnya lagi, beberapa aspek akan dinilai sebelum keputusan dibuat. Aspek tersebut termasuklah:

  • Kesan sosioekonomi
  • Nilai eksport
  • Warisan budaya
  • Penerimaan masyarakat
  • Sumbangan sektor pertanian

“Kementerian kini sedang meneliti usul ini bersama jabatan dan agensi berkaitan untuk memastikan keputusan dibuat secara berhati-hati dan menyeluruh,” ujarnya.

Baca Artikel Berkaitan: “Seriuslah?” – Ramai Bingung Selepas Durian Disenarai Sebagai Buah Kebangsaan Singapura

Baca Artikel Berkaitan: Selain Blackthorn & Musang King, Ini Antara Durian ‘Underrated’ Yang Korang Patut Cuba!

Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Durian Bukan Buah Kebangsaan Negara Malaysia?