Ada Had Masa Bayi Guna Car Seat, Terlalu Lama Boleh Sebabkan ‘Positional Asphyxia’

Health & FitnessFamily & Parenting
11 Jul 2025 • 6:02 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Ibu bapa masa kini sudah semakin cakna dalam isu keselamatan anak-anak dan boleh dikatakan rata-rata mereka pasti mementingkan penggunaan carseat.

Jadi tiap kali menaiki kenderaan, mereka akan memastikan anak-anak kecil duduk dengan selamat di dalam carseat sebelum memulakan perjalanan.

Namun dalam masa sama, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa penggunaan yang salah sebaliknya boleh membawa maut kepada anak-anak.

Bayi Berisiko Alami Positional Asphyxia

Menerusi satu hantaran di TikTok (@amiyryuu), seorang ibu menjelaskan walaupun carseat penting digunakan ketika menaiki kenderaan, namun boleh membahayakan nyawa bayi yang ditinggalkan terlalu lama di dalamnya.

Ini kerana terdapat risiko bayi lemas dalam posisi tertentu atau lebih dikenali sebagai ‘positional asphyxia’.

Keadaan ini terjadi apabila bayi dibiarkan duduk atau baring dalam posisi yang membuatkan saluran nafasnya terhimpit, seterusnya menyebabkan dia tidak dapat bernafas dengan baik.

Walaupun begitu, ibu ayah mungkin tidak menyedari perkara ini kerana bayi akan duduk diam dan tidak menangis atau meronta akibat kesakitan.

Otot Leher Bayi Belum Kuat Untuk Kekal Tegak Dengan Lama

Perkara ini boleh berlaku kerana bayi masih belum mempunyai pengawalan otot leher yang kuat, terutamanya yang berusia kurang 12 bulan.

Disebabkan oleh ini, kepala bayi senang terjatuh ke hadapan atau ke tepi, yang menghimpit saluran pernafasannya.

Saluran pernafasan yang menjadi sempit ini menyebabkan kurang oksigen dapat disalurkan, seterusnya membuatkan bayi lemas dalam diam.

image is not available
Sumber gambar: Canva

Kebanyakan Kematian Bayi Akibat Positional Asphyxia Kerana Tinggal Dalam Car Seat Lama

Dia memetik satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Pediatrics pada 2016 yang menyelidiki lebih 47 kes kematian bayi berkaitan tempat duduk, termasuk car seat, buai dan stroller.

Daripada jumlah ini, 31 kes kematian bayi adalah disebabkan oleh positional asphyxia.

90% daripadanya berlaku apabila bayi dibiarkan tidur terlalu lama dan ditinggalkan bersendirian di dalam car seat.

Ini bukanlah bermaksud bayi ditinggalkan keseorangan di dalam kereta, tetapi apabila car seat dibawa keluar seperti ketika mengunjungi rumah sanak-saudara atau pergi berkelah dan sebagainya.

Malah, satu kajian pada 2019 yang menyelidiki 11,779 kematian bayi sewaktu tidur mendapati 3% (348) daripada jumlah itu berlaku sewaktu dibiarkan di tempat duduk, kebanyakannya membabitkan car seat.

Ini Tempoh Masa Bayi Boleh Ditinggalkan Di Dalam Car Seat Mengikut Umur

Wanita itu turut berkongsi tempoh waktu bayi boleh dibiarkan duduk di dalam car seat berdasarkan kepada julat usia mereka.

Bayi yang baru lahir sehingga dua bulan tidak patut dibiarkan lebih 30 minit kerana risiko positional asphyxia yang sangat tinggi susulan leher mereka yang belum stabil sama sekali.

Ketika di usia dua ke enam bulan, bayi boleh ditinggalkan di dalam car seat hanya sehingga 45 minit memandangkan kepala mereka masih mudah jatuh ke hadapan.

Apabila bayi berusia antara enam ke 12 bulan, mereka mungkin sudah pandai menegakkan kepala dan boleh dibiarkan di dalam car seat sehingga satu jam.

Tempoh masa ini boleh ditingkatkan kepada satu setengah jam bagi bayi yang berumur setahun ke dua tahun, namun risiko positinoal asphyxia masih ada.

Melebihi umur dua tahun, bayi boleh ditinggalkan di dalam car seat sehingga dua jam, namun bergantung kepada tahap perkembangan mereka.

image is not available
Sumber gambar: Unsplash

Hanya Guna Car Seat Waktu Dalam Perjalanan

Dalam pada itu, dia turut mengingatkan orang ramai agar tidak meletakkan bayi di dalam car seat sama sekali apabila berada di dalam rumah. Sebaliknya, gunakan car seat hanya untuk tujuan perjalanan dan di dalam kenderaan.

Apabila sampai ke destinasi, bayi harus terus dikeluarkan daripada car seat walaupun sedang tidur. Kendong bayi menggunakan baby carrier atau letakkan bayi di tempat bersesuaian untuk tidur.

Diingatkan juga ketika dalam perjalanan, sentiasa semak kedudukan kepala bayi yang berada di dalam car seat untuk memastikan kepalanya tidak jatuh ke hadapan.

Di samping itu, ibu ayah perlu tahu bahawa bayi tidak sepatutnya dibiarkan tidur berjam lamanya apabila menaiki stroller kerana terdedah kepada risiko positional asphyxia juga.