Ada Jabatan Kerajaan Culas Bayar Caruman PERKESO Lebih RM32 Juta - CUEPACS

5 Sep 2022 • 3:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kerajaan perlu tegas dalam hal melibatkan keselamatan dan kebajikan pekerja walaupun mereka berstatus kontrak atau sementara - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendedahkan terdapat sebuah jabatan kerajaan yang belum menjelaskan caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tahun 2013 sehingga 2020, melibatkan tunggakan berjumlah RM32,151,063.80.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pembayaran tunggakan melibatkan caruman kakitangan kontrak dan sementara itu perlu disegerakan bagi mengelakkan mereka tidak mendapat perlindungan sewajarnya.

“Jika gagal berbuat demikian kakitangan jabatan tersebut berisiko tidak menerima perlindungan keselamatan sosial khasnya di bawah Skim Keilatan kerana tidak memenuhi syarat caruman sepertimana yang dikehendaki di bawah Akta 4.

“Sebagai majikan, adalah menjadi kewajipan untuk memastikan setiap kakitangan terlibat membuat caruman kepada PERKESO bagi membolehkan mereka menikmati perlindungan sewajarnya,” katanya hari ini.

Justeru, Adnan berkata, kerajaan perlu tegas dalam hal melibatkan keselamatan dan kebajikan pekerja walaupun mereka berstatus kontrak atau sementara.

Katanya, kerajaan melalui PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) telah meluaskan liputan perlindungan di bawah Skim Bencana Pekerjaan (SBK) dan Skim Keliatan (SK) bagi memberi perlindungan lebih baik kepada pekerja di sektor awam dan setara dengan pekerja sektor swasta.

“Pelbagai faedah disediakan di bawah SBK dan SK antaranya ialah faedah hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pencen penakat, pencen ilat, faedah orang tanggungan, elaun layanan sentiasa, faedah perubatan, rawatan dialisis dan faedah pemulihan jasmani atau vokasional.

“Selain itu, pencarum juga boleh menikmati rawatan yang disediakan oleh Pusat Rehabilitasi PERKESO di bawah Program Return To Work,” katanya.

Ujarnya lagi, PERKESO amat kecewa jika hak pekerja terbabit untuk mendapatkan perlindungan tersebut terhalang disebabkan kegagalan majikan masing-masing melakukan caruman kepada PERKESO.

“Kegagalan mematuhi arahan ini adalah suatu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 94, Akta 4 serta Peraturan-peraturan (AM) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

“Ia boleh membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali,” katanya. - Getaran, 5 September 2022