SHAH ALAM – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mendedahkan wujud percanggahan naratif serta kelemahan tadbir urus dalam urus niaga penjualan tanah seluas 67.6 hektar berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam yang didakwa dijual jauh lebih rendah daripada nilai pasaran sebenar.
Beliau berkata, kerajaan Selangor sebelum ini memberi jaminan tanah terbabit tidak akan dibangunkan untuk tujuan perumahan susulan keputusan mahkamah pada 2017 mendapati kawasan itu mempunyai cerun curam dan tidak sesuai untuk pembangunan.
Bagaimanapun dakwanya, kerajaan negeri tetap meneruskan transaksi penjualan tanah kepada syarikat serta memindahkan hak milik tanah itu pada 2019 dan 2020.
"Jika benar kerajaan negeri tidak bersetuju dengan pembangunan itu selepas keputusan mahkamah pada 2017, mengapa perjanjian jual beli tidak dibatalkan dan deposit dipulangkan semula kepada pembeli?” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Wong Chen turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri meluluskan Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2035 yang mengklasifikasikan kawasan itu sebagai 'perumahan terancang'.
Menurutnya, pelan itu telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2021 sebelum diwartakan pada 2022.
Katanya, perkara itu bercanggah dengan kenyataan rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mendakwa kerajaan negeri tidak pernah berniat membenarkan pembangunan di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut mendakwa tanah itu dijual pada harga terlalu rendah berbanding nilai pasaran semasa.
Menurutnya, berdasarkan geran tanah dan Memorandum Pindah Milik (MoT), sebanyak 12.4 hektar daripada kawasan itu merupakan tanah pajakan manakala baki 55.2 hektar adalah tanah pegangan bebas.
"Tanah pegangan bebas lazimnya mempunyai nilai lebih tinggi berbanding tanah pajakan, namun kerajaan negeri hanya memberikan satu nilai iaitu RM13.80 sekaki persegi," ujar beliau.
Beliau berkata, semakan pihaknya mendapati Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menilai tanah berkenaan pada kadar RM55 sekaki persegi bagi tujuan duti ad valorem pada 5 Mei 2019.
Katanya, jika penilaian RM55 sekaki persegi digunakan, nilai keseluruhan tanah itu dianggarkan sekitar RM404 juta berbanding harga jualan akhir RM101 juta.
"Ini menunjukkan tanah tersebut dijual pada harga terlalu rendah walaupun kerajaan negeri sudah mengetahui keputusan mahkamah pada 2017,” katanya.
Wong Chen berkata, isu itu kini bukan lagi sekadar berkaitan janji politik yang dimungkiri, sebaliknya melibatkan persoalan ketelusan pentadbiran dan tadbir urus kerajaan negeri.
Beliau mendakwa, penduduk Kinrara hanya mengetahui tanah tersebut telah dijual selepas Penilaian Impak Sosial dijalankan pada November tahun lalu bagi cadangan pembangunan kawasan berkenaan.
"Sehingga kini lebih 9,000 tandatangan bantahan berjaya dikumpulkan oleh aktivis tempatan yang menolak pembangunan di kawasan berkenaan," tambah beliau.


