Kota Kinabalu: Pusingan-U sementara dibina di lokasi pembinaan jalan Pan Borneo di kawasan Sepanggar.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata tuduhan bahawa kerajaan tidak menyediakan kemudahan tersebut adalah tidak benar dan boleh mengelirukan rakyat.
Bung, yang juga Menteri Kerja Raya, menjawab dakwaan pihak pembangkang yang berkata pembinaan Pan Borneo di Sepanggar hingga ke Bulatan Berunggis, Sepanggar tidak ada pusingan-U.
“Sebenarnya, terdapat pusingan-U sementara dibina di lokasi yang dimaksudkan,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Mengakui banyak cabaran yang dihadapi kontraktor yang melaksanakan projek itu, Bung berkata mereka tidak mengabaikan soal keselamatan dan keselesaan pengguna terutama ketika waktu puncak.
“Saya berharap orang ramai bersabar semasa tempoh pembinaan ini dan sentiasa mematuhi papan tanda amaran semasa melalui kawasan pembinaan” tambah Bung.
Selasa lepas, Penasihat Komuniti Cina Sepanggar mendakwa berlaku kesukaran untuk pengguna lalu lintas menggunakan laluan alternatif di lokasi sepanjang seksyen Sepanggar ke Bulatan Berunggis, kerana tidak ada pusingan U.
Dalam satu kenyataan, beliau mendakwa ketiadaan kemudahan terbabit mencetuskan gangguan trafik yang teruk terutamanya pada waktu puncak dan meminta kerajaan melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

