Ada sesiapa nak belajar bahasa Rohingya?

LocalOpinion
12 Jun 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ada sesiapa nak belajar bahasa Rohingya?
Laporan muka depan Sinar Harian berhubung isu Rohingya.

SEBELUM ini, ramai menawarkan kelas belajar bahasa Mandarin dan Tamil di ruangan komen media sosial kerana ia mendapat permintaan tinggi sama ada untuk tujuan komunikasi harian atau peluang pekerjaan.

Apabila semakin kerap tawar kelas bahasa secara percuma itu, ia menjadi trend spontan netizen meniru cara sama bagi tujuan berjenaka.

Penguasaan bahasa baharu bukan sekadar nilai tambahan tetapi menjadi keperluan untuk berinteraksi.

Oleh itu dengan mengambil kira peningkatan populasi Rohingya sejak lebih tiga dekad memasuki negara ini, tidak mustahil bahasa etnik tersebut akan terkenal kerana mereka sedang membangunkan ekosistem sosial dan ekonomi sendiri.

Meskipun demikian, sikap mereka yang kasar, biadab dan sering memaksa ketika meminta sedekah telah menimbulkan rasa kurang senang rakyat Malaysia.

Kes pelanggaran undang-undang seperti memandu tanpa lesen dan jenayah lain membabitkan etnik itu turut menambahkan kemarahan rakyat.

Walaupun isu berkenaan sudah lama diperkatakan namun gelombangnya berbeza pada kali ini apabila netizen menggunakan platform media sosial untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.

Merak Jalanan melihat ini sebagai satu corak berulang memandangkan isu tersebut sudah banyak kali diperdebatkan selepas tiada penyelesaian tuntas.

Cabaran pihak berkuasa bukan kecil kerana perlu mengimbangi aspek kemanusiaan dan keselamatan dengan menilai kemampuan negara untuk ‘membela’ pelarian Rohingya untuk tempoh jangka panjang.

Rakyat mahu kerajaan bertindak segera menyusun dan mengurus isu ini secara menyeluruh bagi mengurangkan impak negatif pada masa hadapan.