'Ada yang bertongkat, berkerusi roda...' Bukan sekadar komedi ‘pecah perut'. Beto Kusyairy terharu Libang Libu dianggap penawar stres, cerminan masyarakat

EntertainmentMovie
29 Apr 2026 • 4:11 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Ada yang bertongkat, berkerusi roda...' Bukan sekadar komedi ‘pecah perut'. Beto Kusyairy terharu Libang Libu dianggap penawar stres, cerminan masyarakat

SEJAK mula menjengah pawagam pada 23 April lalu, filem Libang Libu bukan sekadar menjadi bahan ketawa, tetapi telah berubah menjadi sebuah fenomena 'feel good' yang menyentuh hati. 

Bagi tunjang utamanya, Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman, naskhah itu adalah potret harmoni yang memaparkan pertembungan budaya dalam suasana paling santai.

Diterbitkan oleh Tangerine Films Sdn Bhd dan diarahkan oleh Bobby Husaini, filem ini berani mengangkat loghat Perak sebagai tunjang cerita. 

Mengisahkan gelagat produksi filem bukan Melayu yang berkampung di sebuah kampung di Perak, ia membawa penonton menyelami keunikan masyarakat kita yang penuh warna-warni.

Dalam keadaan ramai yang sedang bergelut dengan tekanan hidup, kehadiran filem ini nampaknya menjadi terapi minda yang tidak disangka-sangka. 

Suami kepada Tisha Shahar ini meluahkan rasa syukur apabila mendapat tahu naskhah lakonannya itu berjaya menjadi 'ubat' penenang buat mereka yang sedang dihimpit stres.

Image from: 'Ada yang bertongkat, berkerusi roda...' Bukan sekadar komedi ‘pecah perut'. Beto Kusyairy terharu Libang Libu dianggap penawar stres, cerminan masyarakat

"Bagi penonton yang sedang dihimpit stres dengan isu harga barang atau bebanan kerja, filem ini nampaknya berjaya menjadi 'ubat' penenang. 

"Saya bersyukur apabila ramai yang memberitahu bahawa fikiran mereka yang asalnya 'berat', terasa lebih ringan dan tenang selepas menonton," ujarnya.

Malah, Beto mengakui cukup terharu melihat sambutan di Perak yang meriah seperti karnival. 

Paling menyentuh sanubarinya adalah apabila melihat warga emas yang sudah lama tidak menjejakkan kaki ke panggung, sanggup datang bertongkat dan berkerusi roda demi memberikan sokongan.

"Saya tersentuh apabila mengetahui ada golongan warga emas yang sudah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke panggung wayang, sanggup hadir bersama anak-anak meskipun ada yang perlu bertongkat dan berkerusi roda demi menikmati naskhah ini.

"Kita tengok pun situasi dunia lah... dengan isu harga barang, dengan macam-macam yang memberatkan. 

"Jadi, mungkin filem ni dia jadi medium untuk orang release stress. Ada komen saya dapat kata, 'Sebelum pergi fikiran saya berat, lepas keluar  (panggung) lebih lapang dan santai," jelasnya syukur.

Walaupun dihujani ulasan positif, pelakon versatil ini tetap tenang apabila berdepan segelintir penonton yang hadir dengan niat mahu 'mencari kelemahan'. 

Baginya, setiap orang berhak menilai, namun pendekatan sebegitu sebenarnya merugikan pengalaman menonton itu sendiri.

"Saya tak ada masalah kalau ada yang nak cari salah, itu hak masing-masing. Tapi pada saya, rugilah kalau kita tengok sesuatu karya semata-mata untuk cari kekurangan. 

"Bila kita datang dengan niat nak cari apa yang tak kena, kita sebenarnya dah tutup ruang untuk menikmati cerita itu."

Image from: 'Ada yang bertongkat, berkerusi roda...' Bukan sekadar komedi ‘pecah perut'. Beto Kusyairy terharu Libang Libu dianggap penawar stres, cerminan masyarakat

Beto berpendapat, jangkaan atau expectation yang terlalu tinggi selepas membaca komen di media sosial kadangkala boleh menjadi 'perangkap'. Apabila apa yang ditonton tidak sama dengan bayangan awal, fokus untuk menikmati penceritaan akan hilang.

Di sebalik lawak jenaka yang membuatkan penonton pecah perut, ada mesej halus yang cuba disampaikan. Beto berharap audiens tidak sekadar pulang dengan ketawa, tetapi membawa pulang sedikit kesedaran tentang cara kita menilai orang lain dalam kehidupan seharian.

"Tujuannya bukanlah untuk memberi kuliah moral yang berat, tetapi memadai jika ada sesuatu yang 'terjentik' dalam sanubari.

"Pengalaman menonton akan lebih bermakna sekiranya audiens hadir dengan jiwa yang lapang untuk menghayati setiap emosi," ungkapnya.

Selain Beto, filem ini turut dibintangi barisan pelakon 'A-list' seperti Amerul Affendi, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khir Rahman, dan Azhan Rani. Bagi anda yang mahukan hiburan santai yang mampu melapangkan fikiran, Libang Libu kini sedia menanti di pawagam berhampiran!