
Minggu lepas, tersebar khabar angin bahawa Vladimir Putin, Presiden Persekutuan Russia telah menandatangani arahan yang mewartakan tuntutan negara berkenaan ke atas Alaska.
Latar Belakang
Alaska menjadi sebahagian daripada wilayah di bawah Empayar Imperial Russia semenjak abad ke-18. Seorang warga Russia, Grigorii Shelikhov, telah menuntut wilayah berkenaan bagi pihak Empire Russia pada tahun 1784. Mereka telah tertarik untuk menjajah wilayah berkenaan kerana ingin memonopoli perdagangan bulu haiwan.
Kemerosotan Empayar Turki Uthmaniah menyaksikan Empayar Russia berkembang mengambil alih wilayah yang terdahulunya di bawah Empayar Uthmaniah. Setelah beberapa kali berperang, Empayar Russia mengambil alih Crimea pada tahun 1783.
Pada tahun 1854, Empayar Russia sekali lagi cuba mengembangkan sayap mereka dengan merampas wilayah Empayar Turki Uthmaniah, mencetuskan Perang Crimea. Perancis dan Britain bertindak menyokong Empayar Uthmaniah. Perkiraan Empayar Russia silap dan mereka tewas. Hutang yang melambung tinggi memaksa Maharaja Russia, Alexander III untuk menjual Alaska kepada Amerika Syarikat pada 1867.
Penjualan wilayah Alaska yang besar itu telah mengurangkan wilayah Russia yang terdedah kepada ancaman British; di sebelah timur Alaska adalah Kanada yang merupakan sebahagian daripada Empayar Britain. Dengan itu, Alaska (dan secara umumnya Amerika Syarikat) menjadi wilayah penampan terhadap ancaman Empayar British kepada Empayar Russia.
Russia mendapat sejumlah USD7.2 juta (lebih kurang USD149 bilion nilai hari ini dengan anggapan inflasi pada purata 1.95% setahun). Bagi Russia, jualan tersebut juga bersifat memotong kerugian hasil penerokaan Alaska. Populasi memerang yang penting untuk perdagangan bulu mereka telah hampir pupus bermakna perdagangan bulu haiwan sudah menjadi tidak berbaloi untuk Russia. Pada masa yang sama, mereka tidak perlu lagi berhadapan dengan aktiviti menindas pejuang kemerdekaan penduduk asli di Alaska.
Alaska kepada Amerika Syarikat
Kebanyakan orang Amerika ketika pembelian Alaska beranggapan tindakan membeli Alaska itu adalah tindakan bodoh; siapa yang hendak hidup di kawasan tundra yang sejuk sehingga ke tulang sumsum?

Selepas pembelian Alaska, kerajaan Amerika Syarikat mengabaikan kawasan tersebut dan menganggap pembelian tersebut sebagai kebodohan Seward, dengan Seward merujuk kepada William S. Seward, Setiausaha Negara ketika itu yang bersetuju untuk membeli Alaska.
Pandangan tersebut mula berubah pada tahun 1896 apabila emas mula dijumpai di Lembah Yukon.
Amerika Syarikat mula menyedari kepentingan strategik wilayah berkenaan apabila Perang Dingin bermula. Russia mula menjadi ancaman kepada Amerika Syarikat, dan Alaska menjadi komponen penting dalam sistem amaran awal untuk mengesan sebarang percubaan Russia untuk menawan Amerika Utara melalui Selat Bering.
Alaska juga menjadi pengkalan kepada Divisyen Payung Terjun ke-11 Tentera Darat Amerika Syarikat yang mempunyai pengkhususan peperangan di kawasan artik.
Putin Menandatangani Pewartaan
Pada 17 Januari 2024, Putin menandatangani warta yang mengarahkan Kementerian Luar Russia melalui Unit Pengurusan Harta Luar Negara untuk mengenal pasti aset milik Russia di bekas wilayah dan jajahan Russia.
Sesetengah pihak beranggapan bahawa warta tersebut adalah percubaan Russia untuk mengembangkan kembali wilayah mereka, dan bukan sekadar dengan berperang dengan Ukraine.
Berdasarkan laporan awal, tindakan berkenaan adalah lebih kepada Russia mengenal pasti hartanah milik Russia mendapat bantuan guaman secukupnya untuk memastikan hartanah tersebut selamat daripada tindakan sekatan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.
Namun begitu, sekiranya pandangan bahawa tindakan Russia tersebut adalah untuk mengembangkan wilayah mereka adalah betul, Russia mungkin cuba untuk menuntut hartanah mereka di seluruh Eropah, Amerika (Alaska), dan juga Asia. Sekiranya pandangan ini adalah benar, ini akan membawa kepada semakin tinggi kemungkinan untuk Russia bertelagah dengan seluruh dunia (Russia sudah pun), yang akan memburukkan keadaan.
Seperti disebut dalam rencana terbitan Newsweek, Putin tidak menyebut bahawa Russia berkehendakkan kembali Alaska, sebaliknya yang menyebut hendak menuntut kembali Alaska itu adalah tindakan blogger ketenteraan ultranasionalis Russia. Media Barat (dan blogger kenteteraan pro-Barat) kemudiannya memainkan isu ini sebagai gendang perang perang mereka untuk mewarnai Russia bersifat imperialis, memburukkan keadaan untuk Russia.
Danny Liew adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.
