Adakah khutbah bahasa Melayu sampai kepada jemaah asing?

LocalOpinion
12 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Adakah khutbah bahasa Melayu sampai kepada jemaah asing?

DI bawah satu bumbung masjid, pelbagai bangsa berhimpun dengan latar belakang bahasa dan budaya berbeza. Namun, bahasa Melayu tetap bergema dari mimbar Jumaat. 

Dalam kalangan jemaah, terdapat warga asing yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki dan menunaikan kewajipan sebagai umat Islam. Walaupun berkongsi tuntutan ibadah yang sama, tahap penguasaan bahasa mereka tidak serupa.

Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Penggunaannya bukan sahaja meliputi urusan rasmi dan komunikasi harian, malah turut menjadi medium penyampaian ilmu agama, khususnya melalui khutbah Jumaat. 

Khutbah bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah tetapi berperanan menyampaikan nasihat, peringatan dan panduan kepada umat Islam.

Kehadiran pekerja asing beragama Islam dari Bangladesh, Pakistan dan Indonesia menjadikan suasana masjid lebih rencam. Bagaimanapun, bagi sebahagian daripada mereka, memahami khutbah dalam bahasa Melayu bukan sesuatu yang mudah, terutama ketika baru menetap di negara ini. 

Penguasaan bahasa yang terhad, istilah kurang dikenali serta gaya penyampaian khatib boleh mempengaruhi kefahaman terhadap isi khutbah.

Keadaan ini tidak semestinya menunjukkan sikap negatif terhadap bahasa Melayu. Sebaliknya, ada dalam kalangan warga asing yang berminat mempelajarinya dan berusaha memahami kandungan khutbah dengan mendapatkan penjelasan daripada rakan atau jemaah tempatan.

Pengalaman berinteraksi dalam kehidupan seharian turut mempengaruhi penguasaan bahasa mereka. Penggunaan bahasa Melayu di tempat kerja, dalam pergaulan dan aktiviti kemasyarakatan membuka peluang untuk mereka membiasakan diri. Sebaliknya, mereka yang bekerja dalam persekitaran yang didominasi bahasa ibunda mungkin mempunyai ruang lebih terhad untuk mempraktikkannya.

Dalam hal ini, khatib perlu menggunakan bahasa yang jelas, memilih perkataan bersesuaian dan menyusun penyampaian secara teratur supaya mesej khutbah dapat diikuti dengan lebih baik. 

Bahan sokongan seperti ringkasan isi atau terjemahan dalam bahasa tertentu juga boleh dipertimbangkan bagi membantu jemaah warga asing memahami kandungannya.

Institusi masjid pula boleh memperluas peranan melalui program pengajian agama, aktiviti kemasyarakatan dan bimbingan bahasa secara tidak formal. Interaksi sedemikian bukan sahaja membantu warga asing mengenali bahasa Melayu, malah mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Usaha ini tidak bermaksud kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penyampaian khutbah perlu dikompromikan. Sebaliknya, langkah berkenaan dapat memperkukuh fungsinya sebagai medium ilmu yang mampu mendekati umat Islam daripada pelbagai latar belakang.

Sebagai seseorang yang berkecimpung dalam bidang bahasa dan linguistik, saya berpandangan kekuatan sesuatu bahasa bukan hanya terletak pada kedudukannya dalam perlembagaan atau keluasan penggunaannya, tetapi juga pada keupayaan menyampaikan ilmu dan menghubungkan manusia.

Akhirnya, mimbar Jumaat bukan sekadar tempat khutbah disampaika tetapi ruang yang menghimpunkan masyarakat pelbagai bangsa dalam satu saf. Bahasa Melayu akan terus diperkasakan apabila penggunaannya bukan sahaja didengari, malah difahami dan dihayati oleh lebih ramai jemaah. –UTUSAN

DR. ZAHAROM RIDZWAN dan AHMAD ADNIN HUSIN

Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik,

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

The post Adakah khutbah bahasa Melayu sampai kepada jemaah asing? appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved