
KINABATANGAN: Kinabatangan, daerah terletak di timur Sabah merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Kuamut, DUN Lamag dan DUN Sukau, boleh dikatakan kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak parti itu bertapak di daerah berkenaan pada 1990an.
Kinabatangan adalah antara kerusi Parlimen ‘simpanan tetap’ kepada BN dengan penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Pengerusi BN negeri, tidak asing di Sabah mengekalkan momentum kepimpinan dan pengaruhnya sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen pada 1999.
Sinonim dengan slogan ‘radu tatap radu’, Bung Moktar dilihat sukar digugat apabila berjaya bertahan selama lima penggal sebagai Ahli Parlimen, malah menang bergaya pada setiap Pilihan Raya Umum (PRU) untuk mempertahankan kerusinya itu.
‘Gergasi politik’ Sabah yang terkenal dengan perwatakan tegas, berani dan lantang bersuara itu pernah menang tanpa bertanding kerusi Parlimen Kinabatangan pada PRU11 pada 2004.
Tetapi, adakah Bung Moktar masih berbisa untuk mempertahan kubu kuatnya pada PRU15 kali ini dalam pertembungan dengan calon Parti Warisan (Warisan) Mazliwati Abd Malek, calon baharu yang bersemangat untuk membawa perubahan di kawasan itu, termasuk dalam landskap politiknya.
Penganalisis politik Dr Syahruddin Awang Ahmad juga Penyelidik Geo-Politik dan Elektoral Sabah (GeOpeS) Universti Malaysia Sabah (UMS) berkata Bung Moktar boleh mempertahankan kerusi Kinabatangan secara ‘klasik’ iaitu mengekalkan sokongan pengundi dalam kalangan penyokong parti dan mereka yang mengundinya sebelum ini.
Beliau percaya Bung Moktar mampu mempertahan kerusi Parlimen itu pada PRU15 berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai ahli politik yang pernah memegang jawatan di pelbagai peringkat selain melalui perubahan landskap politik negeri serta negara di bawah beberapa ketua menteri dan perdana menteri.
Bagaimanapun, Syahruddin berkata majoriti undi Bung Moktar mungkin berkurangan atas beberapa faktor seperti isu dalaman Umno dan BN, kesepaduan jentera dalam menggembleng tenaga merayu undi, dan kemunculan Mazliwati selaku calon wanita yang datang daripada keluarga berpengaruh politik.
Menyifatkan pertembungan di kerusi Parlimen Kinabatangan sebagai epik, Syahruddin berkata, ini kerana Mazliwati adalah anak sulung bekas Ahli DUN (ADUN) Kuamut Allahyarham Datuk Abd Malek Chua yang memegang jawatan itu selama tiga penggal antara 1976 hingga 1986, dan 1999 hingga 2004.
“Pengalaman dan pengetahuan masyarakat Kuamut khasnya dan Kinabatangan amnya terhadap bapa beliau adalah meluas khususnya dari segi aktiviti politik dan sumbangan sepanjang menjadi Adun,” katanya kepada Bernama.
“Justeru, Mazliwati mempunyai resume baik dan kompetetif kepada penyandang di kaca mata penduduk di kawasan Parlimen Kinabatangan atas sebab jasa bapa beliau dan ini boleh menjadi faktor penyumbang kepada undi daripada akar umbi khususnya di DUN Kuamut,” katanya.
Syahruddin berkata kreativiti Mazliwati menarik perhatian pengundi baharu dan menimbulkan kesangsian dalam kalangan pengundi tegar di kawasan Parlimen Kinabatangan turut berpotensi untuk menjadi faktor pengurangan majoriti Bung Moktar.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Sabah Tony Paridi Bagang berkata, pertembungan satu lawan satu di kerusi Parlimen Kinabatangan amat menarik memandangkan Bung Moktar berdepan calon wanita, selain melihat ia sebagai pertembungan antara parti nasional dan parti tempatan Sabah.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah itu, bagaimanapun berkata tidak menghairankan sekiranya kemenangan kekal di tangan Bung Moktar, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berdasarkan pencapaian beliau dalam pilihan raya sebelum ini.
“Pada PRU14 lepas, Bung Moktar memperoleh undi besar. Dari segi undi popular, Bung Moktar masih menjuarai,” katanya menambah, Mazliwati juga bakal memberi saingan kompetitif memandangkan beliau calon wanita dan muka baharu yang dilihat mampu menjadi faktor mempengaruhi pengundi di Kinabatangan.
“Pasca PRU14 memberi pengajaran kepada kita bahawa landskap politik boleh berubah sekelip mata. Tidak mustahil beliau (Mazliwati) boleh menjadi giant killer namun ia bergantung kepada dinamika politik di Kinabatangan. Pelbagai faktor menyumbang kepada kemenangan luar biasa dan ia tidak semudah seperti dibayangkan,” katanya.
Pada PRU14, Bung Moktar menang dengan majoriti 9,478 undi menewaskan Ghazali Abdul Ghani daripada Warisan dan Mustapa Datu Tambuyong (Parti Harapan Rakyat Sabah).
PRU15 menyaksikan Parlimen Kinabatangan mempunyai 44,773 pengundi masing-masing 23,163 lelaki dan 21,610 wanita yang akan menentukan calon pilihan mereka, esok.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
