Adakah kita sudah benar-benar membina Malaysia?

LocalOpinion
16 Sep 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Adakah kita sudah benar-benar membina Malaysia?

Hari ini genap kita menyambut Hari Malaysia ke-63. Rasanya, selepas lebih enam dekad mengikat janji hidup bersama, sambutan bersejarah ini janganlah sekadar diletakkan sebagai tarikh cuti umum untuk kita, sebaliknya lebih kepada merenung kembali sumbangan kita dalam membina Malaysia.

Sudah tiba masanya untuk kita menilai diri secara jujur, setelah enam dekad berkongsi bumbung yang sama, apa sebenarnya sumbangan kita kepada Malaysia?

Kalau dulu, apabila menyentuh bab menyumbang kepada negara, minda kita sering kali menyerahkan tanggungjawab itu bulat-bulat kepada orang besar. Kononnya, ia hanyalah tugas menteri, polis, tentera, pemimpin setempat atau ketua-ketua syarikat besar.

Kita yang rakyat biasa ini ada kalanya terperangkap dalam mentaliti menuntut hak dan merungut, sambil selesa berkurung dalam kelompok kaum sendiri tanpa ada keinginan untuk menyelami denyut nadi rakan senegara yang lain.

Sehinggakan kadang-kadang kita terlupa bahawa sebuah negara bangsa yang harmoni tidak didirikan dengan keangkuhan bangunan pencakar langit semata-mata, sebaliknya oleh sumbangan kecil setiap warganegara yang mendiaminya. Menyumbang kepada Malaysia era ini tidak lagi memerlukan kita melakukan perkara yang luar biasa.

Cukuplah sekiranya kita memiliki rasa hormat dan sudi menerima keunikan budaya rakan-rakan dari wilayah berbeza dengan hati yang terbuka. Erti kebersamaan yang sebenar bermula apabila jurang psikologi antara Semenanjung, Sabah, dan Sarawak mula mencair iaitu apabila kita boleh bergaul rapat tanpa rasa asing atau takut kehilangan jati diri asal.

Contoh paling mudah untuk kita lihat keberkesanan integrasi ini adalah melalui ruang rasa di meja makan kita hari ini. Kini, hidangan ikonik bumi Borneo seperti mi kolok dan laksa sarawak bukan lagi menu asing, sebaliknya telah diangkat menjadi hidangan arus perdana yang digemari ramai di Semenanjung.

Bukan itu sahaja, anak-anak muda hari ini semakin bangga memperagakan busana atau aksesori yang mengangkat corak tradisi Sabah dan Sarawak, seperti pua kumbu, ke dalam gaya hidup moden mereka.

Semua ini kelihatan kecil, namun ia merupakan sumbangan moral yang amat besar dalam menenun identiti nasional yang utuh. Transformasi sosial yang sihat ini sebahagian besarnya digerakkan oleh generasi muda hari ini yang lebih celik digital dan berfikiran terbuka.

Mereka turut memanfaatkan platform media sosial untuk menyebarkan gelombang kebaikan, saling membantu dan menghormati hak setiap individu tanpa mempedulikan sempadan geografi mahupun keturunan.

Hentikan tabiat mudah melabel atau memandang serong terhadap perbezaan yang wujud. Sebaliknya, jadikan keunikan itu sebagai satu kekuatan strategik untuk kita banggakan. Setiap daripada kita memikul amanah untuk memelihara keharmonian yang sudah lama terjalin ini.

Berbakti kepada Malaysia bukanlah bermakna kita perlu melupakan asal-usul atau identiti keturunan kita. Ia adalah tentang kesediaan untuk saling melengkapi dan bekerjasama dalam acuan lebih besar bernama Malaysia. Semoga setiap usaha kecil kita terus menyuburkan rasa cinta kepada tanah air demi rakyat yang bersatu padu. Selamat Hari Malaysia.

The post Adakah kita sudah benar-benar membina Malaysia? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved