Adakah Polisi ‘Once Broken Considered Sold’ Sah Di Sisi Undang-Undang? Ini Penjelasannya

LocalBusiness & Finance
26 Jul 2026 • 10:00 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Jika perasan, ada kedai atau premis yang meletakkan tanda amaran kepada pelanggan agar berhati-hati apabila membeli belah khususnya di kawasan peralatan kaca.

Antara tanda amaran yang paling biasa dilihat adalah ‘once broken considered sold’ yang dalam bahasa mudahnya bermaksud barangan yang dipecahkan atau rosak dianggap telah dibeli.

Persoalannya, adakah konsep sebegini sah di sisi undang-undang? Perlu ke pelanggan membuat bayaran dan membelinya sedangkan kadangkala ia bukanlah satu perkara yang disengajakan.

Polisi Once Broken Considered Sold Tiada Dalam Undang-Undang

Menurut firma guaman Aimee & Zaim Arif dalam satu hantaran di Threads @aimeezaimarif, frasa tersebut sebenarnya tidak wujud dalam perundangan.

Jelas mereka, pelanggan tidak wajib ‘membeli’ barangan tersebut namun perlu membayar ganti rugi atas perbuatan terbabit.

Transaksi Jual Beli Perlu Ada 3 Elemen Asas

Terang mereka, berdasarkan Undang-Undang Kontrak di bawah Akta Jual Beli Barangan 1957 atau Akta Kontrak 1950, transaksi jual beli memerlukan tiga elemen asas iaitu

  1. Tawaran
  2. Penerimaan
  3. Niat untuk mewujudkan hubungan kontrak

“Pihak kedai meletakkan barang di rak sebagai Invitation to Treat (pelawaan tawaran).

“Apabila anda memegang barang tersebut dan ia terjatuh lalu pecah, tiada kontrak jual beli yang sah telah terbentuk kerana anda tidak pernah menyatakan niat atau persetujuan untuk membeli barang itu.

“Oleh itu, premis tidak boleh memaksa anda membayar harga jualan penuh (retail price) kerana anda bukan membelinya,” terang mereka.

Image from: Adakah Polisi ‘Once Broken Considered Sold’ Sah Di Sisi Undang-Undang? Ini Penjelasannya

Pemilik Premis Boleh Tuntut Ganti Rugi Di Bawah Undang-Undang Tort (Kecuaian)

Namun jelas firma yang mempunyai pengalaman selama 16 tahun dalam bidang perundangan itu, pihak kedai boleh menyaman atau menuntut ganti rugi di bawah Undang-Undang Tort (kecuaian) sekiranya didapati berlaku kecuaian.

“Inilah asas sebenar bagaimana kedai boleh menuntut duit daripada anda. Pihak kedai boleh menyaman atau menuntut ganti rugi di bawah Undang-undang Tort (Kecuaian).

“Untuk kedai menang tuntutan ini, mereka perlu membuktikan elemen seperti wujudnya kecuaian (di mana) pelanggan cuai semasa mengendalikan barang (contoh: membelek gelas kaca sambil bermain telefon bimbit lalu terlepas),” jelas mereka.

Image from: Adakah Polisi ‘Once Broken Considered Sold’ Sah Di Sisi Undang-Undang? Ini Penjelasannya

Pelanggan Hanya Perlu Bayar Ganti Rugi Pada Harga Kos, Bukan Harga Jualan

Tambah mereka lagi, sekiranya terbukti pelanggan melakukan kecuaian, mereka hanya perlu membayar harga kos barang tersebut dan bukanlah harga jualan.

“Kedai tidak dibenarkan mengambil keuntungan atas kecelakaan atau kerugian yang berlaku,” katanya.

Pelanggan Tak Perlu Tanggung Atau Boleh Bayar Ganti Rugi Kurang Dari Yang Sepatutnya Jika Terdapat Kecuaian Caruman

Pun begitu, pelanggan tidak bertanggungan atau boleh membayar ganti rugi kurang dari nilai yang sepatutnya jika wujud Contributory Negligence (Kecuaian Caruman).

“Jika barang itu pecah disebabkan susunan rak kedai yang terlalu sempit, susunan barang yang tidak stabil, atau lantai kedai yang licin, undang-undang melihat wujudnya Contributory Negligence (Kecuaian Caruman) daripada pihak kedai sendiri.

“Dalam situasi ini, pelanggan tidak bertanggungan atau nilai ganti rugi akan dikurangkan secara drastik mengikut peratusan salah sedia ada pihak premis,” jelas mereka.

Image from: Adakah Polisi ‘Once Broken Considered Sold’ Sah Di Sisi Undang-Undang? Ini Penjelasannya

Boleh Jadi Kes Jenayah Jika Individu Sengaja Pecahkan Barang

Namun jelas mereka, perbuatan memecahkan barang dengan sengaja disebabkan amukan, bergaduh atau vandalisme, ia boleh menyebabkan perbuatan terbabit bertukar menjadi kes jenayah di bawah Seksyen 425 Kanun Keseksaan.

“Pihak kedai berhak menahan anda dan membuat laporan polis atas kesalahan merosakkan harta benda dengan niat menyebabkan kerugian,” katanya.

Polisi ‘Once Broken, Considered Sold’ Hanya Notis Amaran Domestik Peniaga

Terang firma guaman itu lagi, polisi Once Broken Considered Sold hanyalah amaran domestik digunakan peniaga yang bertujuan untuk memberi peringatan kepada pelanggan agar lebih berhati-hati.

“Dari segi undang-undang perniagaan:

“1. Jangan terus bayar harga tag (retail price) jika anda tidak sengaja memecahkan barang.

“2. Minta berbincang dengan pengurus premis untuk melihat resit asal atau invois bagi mengetahui harga kos sebenar barangan tersebut untuk tujuan ganti rugi adil,” katanya.

Bagaimana Pula Jika Barang Tester Yang Pecah? Perlu Bayar Atau Tidak?

Jelas mereka lagi sekiranya individu berhadapan dengan situasi barang tester yang terjatuh dan pecah secara tidak sengaja, seseorang tidak perlu membuat bayaran disebabkan tiga faktor utama:

  1. Tiada Kontrak Yang Sah: Di bawah Akta Kontrak 1950, tiada elemen tawaran dan penerimaan untuk membeli barangan tester. Kedai menyediakannya secara percuma untuk dicuba, maka premis tidak boleh menguatkuasakan sebarang transaksi jual beli ke atas anda.
  2. Kedai Menanggung Risiko Syarikat: Mengikut Undang-undang Tort, prinsip Volenti NonFit Injuria terpakai di mana kedai dianggap telah menerima risiko kerosakan secara sukarela apabila meletakkan barangan contoh di kawasan awam untuk kegunaan pelanggan. 
  3. Tiada Elemen Kerugian Jualan: Di bawah undang-undang ganti rugi, kedai tidak boleh menuntut Harga Jualan Penuh (Retail Price) kerana barangan tester tidak mempunyai nilai pasaran komersial dan sememangnya diklasifikasikan sebagai kos pelupusan operasi syarikat sejak awal.
View on Threads

Baca Artikel Berkaitan: Tertumpah Air Dapat Seluar Baharu, Lelaki Puji Servis Terbaik Oriental Kopi Selesaikan Isu Pelanggan

Baca Artikel Berkaitan: “Ibu Bapa Dia Kena Ganti” – Budak Lelaki Cakar Kasut ‘Display’ Sampai Bercalar Undang Perhatian

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved