
Menurut laporan berita terkini setakat artikel ini ditulis, TikTok akan mematikan akses aplikasi tersebut untuk pengguna Amerika Syarikat (AS) pada 19 Januari ini.
Penulis tidak begitu berminat untuk membincangkan sudut undang-undang sebalik larangan AS terhadap operasi TikTok di sana.
Penulis lebih berminat membincangkan bagaimana corak kandungan yang bakal mewarnai TikTok, terutamanya kandungan berbahasa Inggeris, setelah tiadanya pencipta kandungan dari AS.
Sebelum itu, kita perlu hadamkan dahulu hakikat bahawa bahasa Inggeris mendominasi dunia hari ini bukan kerana negara kelahiran bahasa ini iaitu England. Bahasa Inggeris menguasai dunia hari ini oleh sebab AS yang merupakan kuasa dominan dunia, sekurang-kurangnya dalam hiburan dan media.
Sebagaimana AS mencorak pendapat awam dan budaya popular menerusi media arus perdana, begitu juga AS telah melakukan hal tersebut melalui media alternatif seperti TikTok. Ketiadaan pencipta kandungan AS nanti sepertinya akan amat dirasai kesannya.
Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis sendiri yang meminati bahan-bahan bersifat ilmiah dan pencerahan tentang isu sosial dan politik global, sebagaimana kandungan bahasa Inggeris berkenaan topik-topik ini biasanya mudah didapati daripada media arus perdana AS, begitu juga di TikTok; kebanyakannya juga dicipta oleh pengguna AS.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa jika kita cari apa-apa sahaja topik atau kata kunci, dalam bahasa Inggeris, dalam enjin carian TikTok, kebanyakan masanya hasil carian yang diperoleh ialah video-video hasil ciptaan pengguna AS. Malah, isu berkaitan Palestin pun, jika dicari dalam bahasa Inggeris, pasti membuahkan hasil carian video dari AS.
Penulis tidak pasti tentang orang lain, tapi, pada penulis sendiri, penulis semestinya akan merindui hiburan yang diselang-selikan oleh kandungan ilmiah dan pencerahan daripada pengguna AS.
Mungkin kita kerap dimomokkan orang AS ini ramai tidak cerdik, tidak peka dengan dunia luar dan malah, tidak pandai geografi asas. Tapi hakikatnya, jika kita mencari dengan betul, pengguna internet AS-lah yang paling banyak menyumbang kepada bahan-bahan ilmiah dan pencerahan isu semasa untuk medium bahasa Inggeris.
TikTok AS, kamu akan dirindui selalu.
Wan Salman adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.



