
KUALA LUMPUR: Ketika remaja seusianya masih mengikuti pembelajaran di sekolah menengah, Adam Adrian Muhamad Zawani mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih biasiswa Kerajaan Rusia untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan pada usia 15 tahun.
Remaja yang dilahirkan di Pittsburgh, Amerika Syarikat (AS) itu bakal meneruskan pengajian di Pirogov Russian National Research Medical University, antara institusi pengajian tinggi yang menawarkan pendidikan perubatan di Rusia.
Kejayaan berkenaan lebih bermakna apabila Adam berjaya mengetepikan persaingan daripada lebih 100 pemohon yang turut berusaha mendapatkan biasiswa tersebut.
Pencapaian itu sekali gus menambah kejayaan akademiknya selepas berjaya menamatkan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) ketika berusia 15 tahun.
Adam dijadual berlepas ke Rusia pada 14 November ini bagi memulakan pengajian sekali gus membuka lembaran baharu dalam usahanya merealisasikan cita-cita sebagai seorang doktor.

Sebelum berangkat, beliau kini mengikuti program pendedahan klinikal atau medical shadowing di bawah bimbingan pakar pediatrik, Datuk Dr Iqbal di KPJ Damansara Specialist Hospital.
Menerusi pengalaman tersebut, Adam berpeluang memahami suasana sebenar bidang perubatan termasuk tugas harian doktor, kaedah berinteraksi dengan pesakit serta tanggungjawab yang perlu dipikul seorang pengamal perubatan.
Ibunya, Dr Azu Shahadan yang merupakan pakar motivasi minda, penulis buku Rahsia Kuasa Minda, pereka cipta dan pengasas beberapa inisiatif pembangunan potensi manusia menyifatkan kejayaan anaknya sebagai hasil keyakinan serta sokongan berterusan sepanjang perjalanan akademiknya.
Dr Azu yang pernah menerima pengiktirafan Pakar Motivasi Pilihan Pa&Ma selama dua tahun berturut-turut turut menghasilkan inovasi kesihatan minda dikenali sebagai The Mind Tune, iaitu peranti yang dibangunkan bagi membantu memperkukuh minda dan pemikiran positif.

Menurutnya, pencapaian Adam membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang mencapai kejayaan sekiranya diberikan ruang, bimbingan serta sokongan yang sewajarnya.
“Potensi seseorang anak tidak seharusnya dinilai berdasarkan usia semata-mata, sebaliknya perlu diperkembangkan menerusi peluang, bimbingan dan persekitaran yang positif.
“Saya berharap perjalanan Adam menjadi inspirasi kepada ibu bapa dan generasi muda supaya terus yakin bahawa setiap anak memiliki kelebihan tersendiri yang boleh digilap,” katanya.
Sementara itu, Adam melahirkan rasa syukur atas peluang melanjutkan pengajian perubatan di Rusia menerusi biasiswa berkenaan yang disifatkannya sebagai satu pencapaian amat bermakna dalam hidupnya.
Beliau turut berharap kejayaannya dapat menyuntik semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha mengejar impian masing-masing tanpa mudah berputus asa meskipun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran. – UTUSAN
The post Adam cipta kejayaan, terima biasiswa perubatan pada usia 15 tahun appeared first on Utusan Malaysia.

