Adi Priyo nak gerak solo, 6ixth Sense hilang arah

EntertainmentMusic
27 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Adi Priyo nak gerak solo, 6ixth Sense hilang arah

PENUBUHAN sesebuah kumpulan dalam tempoh yang panjang bukan satu perkara mudah. Pasti ada cabaran tersendiri demi mempertahankan keutuhan sebuah jenama.

Namun, selepas lebih 20 tahun mewarnai industri muzik, vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi Priyo membuat keputusan untuk membawa haluan sendiri.

Adi atau nama lengkapnya Adi Priyo Sambodo, 43, memaklumkan dia mahu berehat dan memberikan tumpuan kepada beberapa projek lain, termasuk bersama kumpulan Venus.

Pada masa sama, penyanyi asal Indonesia itu berasakan sudah tiba masanya untuk bergerak secara solo demi memberi lebih kebebasan dalam berkarya.

“Kalau bersama 6ixth Sense, karya kena dapat keizinan dan persetujuan kelima-lima orang kata sepakat. Tapi kalau solo, ikut suka hati saya nak buat apa. Saya banyak masa untuk muzik dan datang ke Malaysia untuk bermain muzik.

“Bila buat sendiri, saya bebas untuk berkarya mengikut apa yang saya nak dan prosesnya lebih cepat,” katanya kepada HibGlam.

Selain faktor kebebasan, Adi turut mendedahkan bahawa masalah stamina turut menjadi asbab dia memilih untuk berehat daripada kumpulan terbabit.

“Saya ada masalah stamina sebab kalau konsert perlukan stamina yang kuat. Macam sebelum ini kami buat 25 lagu.

“Makin lama konsert, makin banyak tenaga perlu digunakan dan mungkin tenaga saya dah tak seperti dahulu. Lagi pun sekarang saya lebih banyak ke arah penerbitan, saya tak banyak menyanyi,” ujarnya.

Sementara itu, pemain gitar utama iaitu Gjie menjelaskan bahawa hala tuju 6ixth Sense kini masih dalam fasa teka-teki dan tergantung selepas kehilangan tonggak utama mereka.

“Soal hala tuju 6ixth Sense, masih tiada perancangan sama ada nak dibubarkan atau teruskan dengan vokalis lain. Kita pun faham kenapa Adi buat begitu. Kami hormati keputusan Adi. Daripada awal lagi dia tak nak sertai konsert terakhir ini,” katanya.

Image from: Adi Priyo nak gerak solo, 6ixth Sense hilang arah
SETELAH pengunduran Adi kelak, 6ixth Sense belum memutuskan untuk terus mencari pengganti vokalis atau berehat seketika sementara menemukan rentak baharu.

Hala tuju

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Mohd. Faiz Azizi menegaskan pihaknya belum mempunyai sebarang perancangan muktamad sama ada mahu mencari pengganti baharu atau berehat panjang buat sementara waktu.

“Nak cakap kita aktif mencari pengganti Adi pun, taklah. Kita tak ada kata putus, benda itu antara kami berempat pun sebenarnya tergantung.

“Mungkin kita masing-masing akan berehat ataupun fokus kepada perjalanan peribadi masing-masing terlebih dahulu,” jelasnya.

Bercakap mengenai 6ixth Sense: Tak Bisa Memilihmu, Gjie menjanjikan sebuah persembahan istimewa yang bakal mengajak peminat setia mengimbau kembali era kegemilangan awal penubuhan kumpulan terbabit.

“Kami baru buat konsert 20 tahun, apa lagi kami nak kembangkan. Kami sebenarnya nak orang lebih mengimbau berada di zaman asal 6ixth Sense. Macam mana naifnya dan tidak tahunya apa-apa untuk berada dalam industri ini,” tutupnya.

Konsert 6ixth Sense: Tak Bisa Memilihmu bakal berlangsung di Idea Live Arena, Damansara pada 23 Januari 2027. Konsert tersebut bakal menjadi persembahan terakhir vokalis utamanya, Adi Priyo, bersama kumpulan berkenaan selepas lebih 20 tahun penglibatannya dalam industri muzik tempatan.

The post Adi Priyo nak gerak solo, 6ixth Sense hilang arah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved