Adik istimewa lepas rindu, peluk erat baju arwah Anis Soffiya

LocalFamily & Parenting
15 Mar 2026 • 3:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Arissa Imani (kanan) yang merupakan penghidap Sindrom Down menunjukkan baju tidur arwah kakaknya yang maut dalam nahas bas diKilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik pada 9 Jun tahun lalu.​

SETIU – Kehilangan tragis pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Anis Soffiya Md Zaidi yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas tahun lalu bukan sahaja meninggalkan parut luka di hati seorang ibu, malah turut dirasai adik istimewanya, Arissa Imani Othman, 7.

Ibunya, Che Nor Aida Suhana Mat, 47, berkata, anak bongsunya yang menghidap Sindrom Down itu sangat rapat dengan kakaknya yang mesra digelar ‘Angah’.

Menurutnya, walaupun mereka berbeza bapa, Allahyarham merupakan seorang kakak yang sangat prihatin dan melimpahkan kasih sayang sepenuhnya terhadap adik-adik yang lain.

“Setiap kali teringat Angah, Arissa akan menyebut nama arwah. Dia ada masalah pertuturan, tetapi jika ada sesuatu yang mengingatkan dia kepada arwah, dia akan tunjuk barang atau sebut nama kakaknya.

“Baru-baru ini, semasa saya mengemas barang arwah, saya hampir membuang sehelai baju tidur tetapi tiba-tiba Arissa ambil dan sebut ‘Angah’.

“Disebabkan itu, saya tidak jadi membuangnya dan menyimpannya sebagai kenangan kerana baju itu antara pakaian kesayangan arwah,” katanya ketika ditemui di Kampung Rahmat, dekat Chalok di sini.

Tambah Che Nor Aida, keadaan lebih memilukan apabila Arissa yang seolah-olah memahami kehilangan itu kerap membawa naskhah Surah Yasin kepadanya untuk dibacakan buat arwah.

Katanya, menjadi rutin mereka sekeluarga kini untuk menziarahi pusara anak kedua daripada lima beradik itu setiap kali mempunyai kelapangan.

“Sekarang ini tanah kubur seperti tempat untuk kami melepaskan rindu kepada arwah.

“Untuk mengubati rasa rindu, saya suka melihat status WhatsApp rakan-rakan arwah. Saya bayangkan jika dia masih ada, tentu dia juga sedang melakukan aktiviti yang sama di kolej,” ujarnya sayu.

Menceritakan peribadi Allahyarham, Che Nor Aida berkata, walaupun Anis Soffiya aktif sebagai atlet olahraga dan ragbi, namun arwah sangat mengutamakan ibadah.

Dedahnya, sejak kecil lagi arwah tidak pernah ketinggalan untuk mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Anis Soffiya merupakan antara mangsa yang terkorban dalam nahas ngeri membabitkan pelajar UPSI di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik pada 9 Jun tahun lalu.

View Original Article