KOTA MARUDU - Seorang lelaki yang cuba menyelamatkan adiknya yang juga orang kurang upaya (OKU) gagal apabila mangsa ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Torintidon, Jalan Kampung Lampada di sini, awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, remaja autistik berusia 16 tahun itu ditemukan rentung di dalam bilik rumah berkenaan, manakala abangnya berusia 28 tahun melecur ketika cuba menyelamatkannya.
**media[3519245]**
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.23 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari BBP Kota Marudu, namun operasi berdepan kesukaran apabila kawasan berkenaan tidak mempunyai liputan Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) serta liputan telefon yang lemah selain keadaan jalan tidak berturap.
"Pergerakan jentera FRT sejauh 14 kilometer hanya dapat dilalui sehingga berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Lampada sebelum pasukan meneruskan perjalanan ke lokasi menggunakan kenderaan pacuan empat roda disebabkan keadaan jalan yang tidak berturap.
"Sebaik tiba, kami dapati sebuah rumah jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus dan pasukan segera menjalankan kerja-kerja overhaul menggunakan sumber air daripada paip penduduk kampung," katanya dalam kenyataan.
**media[3519243]**
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan.
"Seorang mangsa remaja OKU autisme ditemukan rentung di dalam bilik, manakala abangnya mengalami lecur di bahagian depan dan belakang badan serta tangan ketika cuba menyelamatkan adiknya.
"Mangsa yang rentung diserahkan kepada pihak polis, manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kota Marudu oleh penduduk kampung untuk rawatan lanjut," katanya.
Debli berkata, operasi pemadaman dan pemeriksaan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.53 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
