'Adik teruja ikut nenek...' -Kegembiraan 6 sekeluarga bertukar tragedi, mangsa nahas baru sambut kenduri masuk rumah dan aqiqah

8 Jun 2026 • 2:44 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Adik teruja ikut nenek...' -Kegembiraan 6 sekeluarga bertukar tragedi, mangsa nahas baru sambut kenduri masuk rumah dan aqiqah

KERIANGAN seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang begitu teruja untuk merasai pengalaman menaiki kereta baharu milik bapa saudaranya bertukar menjadi satu memori paling memilukan. 

Siapa sangka, gelak tawa dan langkah ceria Iskandar Affan Ibrahim meluru keluar dari rumah menjadi detik terakhir sebelum dia dijemput Ilahi dalam satu kemalangan tragis yang mengorbankan enam nyawa di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani pada Ahad. 

Tragedi menyayat hati yang melibatkan pertembungan sebuah kereta jenis Proton X50 dan lori muatan tanah itu turut meragut nyawa neneknya, bapa saudara, ibu saudara, sepupu, serta seorang bayi yang baru berusia dua bulan.

Mengimbas kembali saat-saat sebelum kejadian, ibu saudara mangsa, Norzamilah Ghazali, yang berada dalam lingkungan usia 50-an, berkongsi betapa arwah yang mesra dipanggil 'adik' itu kelihatan sangat gembira apabila melihat nenek dan bapa saudaranya tiba dengan kenderaan yang baru sahaja dibeli. 

Ketika itu, Iskandar sebenarnya sedang leka menikmati makanan di rumah bapanya di Taman Bertam, Pulau Pinang, namun terus meninggalkan hidangannya sebaik sahaja menyedari kehadiran mereka.

 

    View this post on Instagram           

A post shared by sinarplus (@sinarplus)

"Adik nampak sangat seronok sebab nak ikut nenek dan bapa saudaranya naik kereta Proton X50 yang baru dibeli. Masa itu arwah sedang makan. 

"Sebaik sahaja nampak mereka sampai, dia terus basuh tangan dan meluru keluar. Semua yang berada dalam kereta itu menunggunya di luar rumah," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) malam kelmarin.

Menurut Norzamilah, kenderaan tersebut dipandu untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar sambil menuju ke Merbok bagi menziarahi kubur arwah ayahnya. 

Image from: 'Adik teruja ikut nenek...' -Kegembiraan 6 sekeluarga bertukar tragedi, mangsa nahas baru sambut kenduri masuk rumah dan aqiqah

Malah sebelum kejadian, mereka sempat mengambil Iskandar sebelum berpatah balik ke rumah seorang lagi mangsa, Ahmad Syafiq, yang baru sahaja mengadakan kenduri masuk rumah baharu dan majlis aqiqah bayinya baru-baru ini. 

Kehilangan mengejutkan ini benar-benar merentap tangkai hati seluruh ahli keluarga, terutama bapa arwah yang sejak awal lagi sudah dirundung kebimbangan yang amat sangat tentang keselamatan anaknya.

"Memang terkejut sebab mereka pergi semua sekali. Adik ipar risau sangat, dia kat rumah tadi pun dia tak fikir lain lah. Dia takut anak dia ada dalam kereta tu. 

"Dia tak fikir lain dah melainkan anak dia. Cuma bagi yang saya dapat tahu awal tadi, adik ipar saya cakap ibu dia meninggal, Puan Nora. Yang lain tak tahu lagi. 

"Lepas itu, bila kami sampai ke tempat itu, tak tahu nak cakap bila tengok kereta. Memang habis. Depan dia memang habis. Tak nampak, kalau kita tengok tak nampak kereta. 

"Di situ, kami tanya bomba, dan diberitahu memang semua meninggal," ujarnya menceritakan detik cemas ketika tiba di lokasi kejadian.

Image from: 'Adik teruja ikut nenek...' -Kegembiraan 6 sekeluarga bertukar tragedi, mangsa nahas baru sambut kenduri masuk rumah dan aqiqah

Sambil menahan sebak, Norzamilah menyifatkan Iskandar sebagai seorang kanak-kanak yang sangat manja dan rapat dengan sepupu-sepupunya. 

"Iskandar memang nampak gembira. Dia memang manja. Kami panggil dia adik. Dia ada dua orang adik, yang kakak dia lapan tahun, dia tujuh tahun. 

"Cuma dengan anak-anak saya ni, dia memang manja lah. Apa-apa telefon ke anak-anak. Kita nak buat macam mana kan, itu semua kuasa Tuhan. 

"Tuhan dah tentukan macam tu, jadi terpaksa terima," luahnya lagi dengan penuh pasrah.

Image from: 'Adik teruja ikut nenek...' -Kegembiraan 6 sekeluarga bertukar tragedi, mangsa nahas baru sambut kenduri masuk rumah dan aqiqah

Selain Iskandar, nahas jalan raya yang meranapkan sebuah keluarga itu turut mengorbankan neneknya, Nora Mhd Husin, 55, pemandu kenderaan, Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, adik Ahmad Shafiq iaitu Ahmad Fahim, 21, serta bayi pasangan berkenaan, Ahmad Mikail Ahmad Shafiq yang baru berusia dua bulan. 

Walau bagaimanapun, seorang lagi mangsa, Aulia Sofea Ahmad Shafiq yang berusia tiga tahun dilaporkan terselamat, namun mengalami kecederaan parah dan kini sedang bertarung nyawa menerima rawatan kritikal di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.