Adili garis panduan pembangunan baharu, bukan oportunis

LocalPolitics
1 Jun 2026 • 9:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Adili garis panduan pembangunan baharu, bukan oportunis
Perancangan bandar yang baik bukan dibina atas reaksi panik atau keputusan oportunis. Gambar hiasan

KADANG-KADANG Merak Jalanan pelik juga. Bila kerajaan buat garis panduan, orang marah. Bila tiada garis panduan, orang kata kerajaan gagal merancang.

Isu rumah ibadat bukan Islam di kawasan komersial di Selangor nampaknya terperangkap dalam dilema itu.

Kerajaan negeri menjelaskan garis panduan baharu hanya terpakai kepada pembangunan baharu, bukannya rumah ibadat beroperasi.

Namun, apabila sesuatu dasar diumumkan tanpa penerangan cukup awal, jangan terkejut jika rakyat mula membayangkan macam-macam.

Hakikatnya, perancangan bandar memang perlu. Tidak logik jika setiap lot kosong boleh ditukar sesuka hati tanpa mengambil kira kesesakan trafik, parkir, keselamatan dan keselesaan penduduk.

Tetapi janganlah perancangan itu kelihatan terlalu 'cantik atas kertas' sehingga realiti di bawah terabai.

Bukan semua pertubuhan agama ada dana jutaan ringgit untuk membeli tanah dan membina rumah ibadat sendiri.

Banyak bermula kecil-kecilan, menyewa lot kedai dan mengumpul dana sedikit demi sedikit.

Sebab itu, garis panduan yang baik bukan sekadar pandai melarang, ia mesti pandai memberi ruang mediasi.

Jika syarat keselamatan, lalu lintas dan kebajikan komuniti dipenuhi, mengapa tidak diwujudkan mekanisme telus untuk pertimbangan kes demi kes?

Apa yang rakyat mahu bukan layanan istimewa tetapi layanan adil.

Lebih penting, jangan sampai dasar awam dilihat berubah mengikut tekanan pihak tertentu atau sentimen semasa.

Hari ini longgar, esok ketat, lusa tangguh semula.

Perancangan bandar yang baik bukan dibina atas reaksi panik atau keputusan oportunis. Ia mesti berasaskan prinsip yang konsisten, adil dan boleh difahami.