
PETALING JAYA – Kegagalan Muhammad Adlan Berhan untuk pulang ke negara ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyebabkan namanya kini disenaraikan dalam Notis Merah Interpol.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kepada sebuah akhbar harian, Utusan Malaysia, hari ini.
Turut tersenarai nama seorang peguam, Mansoor Saat.
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Adlan, yang berkahwin dengan anak bekas Perdana Menterim Tan Sri Muhyiddin Yasin, ke luar negara ketika siasatan membabitkan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometric pekerja asing di sebuah kementerian, sedang dijalankan.
Kedua-dua mereka kemudian dicari SPRM untuk membantu siasatan selepas didapati ke luar negara pada Mei lalu.
Muhammad Adlan, melalui peguamnya, menafikan beliau melarikan diri daripada undang-undang manakala Mansoor mendakwa beliau adalah mangsa pendakwaan berunsurkan politik.
Mansoor adalah individu utama dalam NERS Sdn Bhd, iaitu sebuah Syarikat yang dianugerahkan dengan kontrak selama tempoh 12 tahun pada 2011.
Kontrak itu adalah untuk merekod dan mengawasi kemasukan pekerja asing dan mengeluarkan permit lawatan kerja sementara. – Getaran, 25 Ogos 2023


