Adly cabar BN kemuka bukti capai 97 peratus pelaksanaan manifesto

LocalPolitics
8 Nov 2026 • 12:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Adly cabar BN kemuka bukti capai 97 peratus pelaksanaan manifesto

MELAKA – Barisan Nasional (BN) perlu mengemukakan bukti terperinci bagi menyokong dakwaan telah melaksanakan 97 peratus janji manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan rakyat menilai kedudukan sebenar pelaksanaan 103 inisiatif yang terkandung dalam manifesto tersebut merentas lima teras utama.

“Kalau kita melihat dakwaan pencapaian itu, perlu disertakan senarai lengkap yang menunjukkan kedudukan serta komitmen supaya pengundi dapat menilai sendiri,” katanya pada Sidang Media Harian PH di Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Baru di sini hari ini.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, ketelusan dalam mengemukakan pencapaian manifesto penting bagi memastikan setiap komitmen diumumkan kerajaan dapat dinilai berdasarkan hasil pelaksanaan sebenar, bukan sekadar angka peratusan.

Beliau turut membangkitkan kedudukan kewangan kerajaan negeri berdasarkan ringkasan laporan Ketua Audit Negara yang merekodkan hasil Melaka sebanyak RM490 juta berbanding perbelanjaan RM519 juta pada 2024.

Kedudukan itu menurut beliau, memperlihatkan kepentingan pengurusan kewangan berhemah selain memastikan setiap keputusan perbelanjaan mempunyai rekod dan hasil yang boleh diperiksa.

“Kadang-kadang kita dapat meningkatkan pendapatan tetapi pengurusan perbelanjaan juga harus diberikan keutamaan. Sebab itu kalau mengikut rekod 2024, pendapatan (kerajaan negeri) RM490 juta tetapi berbelanja RM519 juta,” katanya.

Adly berkata, pentadbiran PH di Melaka pada 2019 pernah mencatat lebihan kewangan RM50 juta sekali gus menunjukkan kepentingan mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan kerajaan.

Beliau berkata, PH menerusi aspirasi Melaka Rumah Kita menawarkan pentadbiran yang bersih, telus dan berintegriti termasuk memastikan setiap ringgit wang awam diuruskan secara berhemah.

Katanya, pengundi berhak mendapatkan maklumat jelas mengenai pencapaian kerajaan negeri supaya dapat membuat penilaian sewajarnya menjelang PRN Melaka ke-16.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov. – BERNAMA

The post Adly cabar BN kemuka bukti capai 97 peratus pelaksanaan manifesto appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved