ADMM: Kenyataan Bersama Mengenai Kerjasama Dalam Bidang AI Akan Dikeluarkan

LocalPolitics
30 Oct 2025 • 5:08 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

ADMM: Kenyataan Bersama Mengenai Kerjama AI Akan Dikeluarkan, Pertama Seumpamanya Oleh Organisasi Serantau

Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-19 akan mengeluarkan satu kenyataan bersama mengenai kecerdasan buatan (AI), yang pertama seumpamanya diterbitkan oleh organisasi serantau.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu sidang media selepas Sesi Walkabout Bersama Media mengenai ADMM & ADMM Plus Ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Menurut Khaled, kenyataan bersama itu merupakan salah satu tumpuan utama dalam ADMM & ADMM Plus yang dijadualkan berlangsung bermula 30 Oktober hingga 2 November ini.

“Antara tumpuan adalah kita akan mengeluarkan satu kenyataan bersama mengenai kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

“Ia merupakan kenyataan berkenaan AI dalam sektor pertahanan yang pertama seumpamanya yang pernah diterbitkan oleh organisasi serantau,” katanya.

Tambah beliau lagi, perkembangan pesat AI pada hari ini turut mempengaruhi usaha membentuk landskap pertahanan.

Perkembangan teknologi itu bukan sahaja menawarkan keupayaan-keupayaan baharu, tetapi turut hadir dengan risiko-risiko yang tidak pernah dilihat.

“Jadi kenyataan ini adalah isyarat tekad kita Menteri-menteri Pertahanan ASEAN untuk mendekati AI secara bertanggungjawab dengan mengimbangi inovasi dengan akauntabiliti,” katanya lagi.

ADMM Ke-19 adalah mesyuarat melibatkan Menteri-menteri Pertahanan peringkat serantau dengan mesyuarat kali ini turut melibatkan wakil daripada Timor Leste, anggota terbaru yang diterima masuk ke Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Manakala ADMM Plus Ke-12 pula adalah mesyuarat bersama 8 anggota dialog iaitu Amerika Syarikat, Rusia, China, India, Autsralia, Korea Selatan, Jepun dan New Zealand.

Sebanyak 20 inisiatif baharu pertahanan juga dijangka akan diterima pakai menerusi mesyuarat kali ini, yang merupakan jumlah tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh setahun.