SUBANG JAYA, 3 APRIL: Sebanyak 300 set baju kurung dan botol air diedarkan kepada mangsa insiden kebakaran saluran paip gas yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han berkata barangan sumbangan Fo Guang Shan Malaysia, itu diharap dapat membantu mangsa yang berteduh di pusat berkenaan.
“Hari ini saya bersama wakil Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) mengedarkan barangan sumbangan diharap ia dapat memberikan sedikit keceriaan kepada mereka yang menyambut Aidilfitri.
“Setakat ini, maklum balas yang saya terima daripada penghuni di sini barangan asas mencukupi. Namun saya sudah pesan sekiranya memerlukan apa-apa boleh maklumkan kepada petugas di sini dan mereka sedia bantu,” katanya yang juga EXCO Kerajaan Negeri selepas menyempurnakan penyampaian sumbangan di sini, hari ini.

Setakat jam 8 pagi tadi, seramai 311 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini yang dibuka sejak 1 April lalu.
Media melaporkan sebanyak 20 agensi akan memulakan siasatan dan pemeriksaan tahap keselamatan di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, setakat semalam.
Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah di kawasan terlibat.



The post ADN Kinrara: 300 set baju kurung, botol air diedar kepada mangsa kebakaran paip gas appeared first on Selangorkini.


