SHAH ALAM, 22 MAC: Seramai 50 anak asnaf sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di bawa membeli pakaian raya di pusat pakaian Jakel di sini, hari ini.
Wakil rakyatnya Mohd Najwan Halimi berkata sebanyak RM5,000 belanjakan bagi memberi keceriaan kepada kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dalam menyambut Aidilfitri.

“Program ini memang kita anjurkan hampir setiap tahun untuk berkongsi rezeki kepada golongan yang kurang berkemampuan di sekitar DUN Kota Anggerik.
“Kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarga penerima,” katanya ditemui selepas Program Ehsan Aidilfitri DUN Kota Anggerik di Seksyen 7 di sini hari ini.

Mengulas mengenai pemberian baucar Jom Shopping Aidilfitri kali ini, Mohd Najwan berkata seramai 900 individu bakal menerima inisiatif membeli-belah bernilai RM200.
“Serahan dibuat petang ini di Pasaraya Giant, Seksyen 13. Inisiatif setiap tahun ini bertujuan mengurangkan beban penerima dalam membuat persiapan hari raya,” katanya.
Sempena Aidilfitri ini, sebanyak 36,350 baucar bernilai RM200 yang melibatkan peruntukan lebih RM7.2 juta bakal diagih kepada keluarga berpendapatan rendah negeri ini.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM12 juta yang disediakan bagi membantu keluarga kurang mampu untuk menyambut perayaan utama termasuk Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

The post ADN Kota Anggerik belanja RM5,000 bawa 50 anak asnaf beli baju raya di Jakel appeared first on Selangorkini.


