Adrian Teh sasar standard baharu filem aksi tempatan

LocalMovie
7 Aug 2026 • 2:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Adrian Teh sasar standard baharu filem aksi tempatan

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Chelot, Adrian Teh, memilih untuk menggunakan kesan praktikal dalam hampir keseluruhan babak letupan dan tembakan bagi menghasilkan impak aksi yang lebih realistik.

Adrian atau Adrian Teh Kean Kok, 41, berkata, dia sentiasa berusaha meningkatkan standard filem aksi arahannya berbanding karya terdahulu seperti PASKAL The Movie dan MALBATT: Misi Bakara.

“Bagi saya, penggunaan CGI untuk kesan peluru hanyalah kerja pascaproduksi. Sebaliknya, apa yang kami lakukan dalam Chelot ialah seni kesan praktikal yang memberikan jiwa kepada setiap babak.

“Hampir semua letupan yang bakal ditonton adalah letupan sebenar. Setiap kesan peluru pada kereta atau dinding bukan ditambah menggunakan komputer, sebaliknya kami menebuk sendiri permukaan berkenaan, memasang bahan letupan (pyro), kemudian menutup semula dengan simen dan mengecatnya mengikut warna asal sebelum penggambaran bermula,” katanya pada majlis pelancaran filem itu di Bunglow37, Bangsar, di sini, semalam.

Menurut Adrian, Chelot turut mencatat pengiktirafan dalam The Malaysia Book of Records menerusi kategori The Longest Single Take Action Sequence in a Movie menerusi babak aksi berdurasi lima minit 19 saat yang dirakam tanpa sebarang potongan.

Katanya, babak berkenaan melibatkan laluan sejauh 1.9 kilometer bermula dari Quill City Mall hingga ke tingkat tiga, Kompleks Pertama.

“Ini merupakan babak paling rumit dan mencabar yang pernah saya hasilkan. Persiapannya mengambil masa lima bulan, membabitkan kira-kira 300 kru di lokasi serta penutupan jalan raya selama tujuh hari.

“Walaupun babak ini sangat mencabar kerana melibatkan adegan tembakan dan letupan sepanjang perjalanan, kami tetap berpegang pada prinsip penggunaan kesan praktikal. Hanya memikirkannya pun sudah memenatkan, namun hasilnya benar-benar berbaloi,” katanya.

Mengulas mengenai jalan cerita, Adrian berkata, dia turut menjalinkan kerjasama dengan Unit Tindakan Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi memastikan aspek taktikal dan operasi dipaparkan secara autentik.

Walaupun dikenali menerusi filem aksi, Adrian menegaskan Chelot tetap memberi penekanan terhadap elemen drama serta konflik watak bagi mengimbangi aksi lasak yang dipersembahkan.

“Selepas MALBATT, saya tertanya-tanya apa lagi yang boleh diberikan kepada penonton sehingga mereka berasa kagum. Chelot adalah jawapannya.

“Ini juga satu persaingan sihat dalam kalangan pengarah tempatan untuk terus menghasilkan filem aksi yang lebih segar dan berkualiti bagi pasaran tempatan,” katanya.

Selain Syukri Yahaya, filem itu turut dibintangi Beto Kusyairy, Alicia Amin dan Nadhir Nasar. Chelot dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 27 Ogos ini. -UTUSAN

The post Adrian Teh sasar standard baharu filem aksi tempatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved