
SHAH ALAM, 9 OGOS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran memberi maklum balas terhadap aduan kritikal yang disalurkan menerusi media sosial dalam tempoh 12 hingga 24 jam, terutama membabitkan keselamatan awam.
Aktivis jalan raya dan pengangkutan mampan, Shahrim Tamrin berkata tempoh itu munasabah bagi membolehkan PBT mengesahkan aduan, menentukan tahap keutamaan dan mengenal pasti tindakan bersesuaian.
"Saya mencadangkan tempoh munasabah antara 12 hingga 24 jam. Saya tidak mengharapkan dalam masa satu atau tiga jam selepas aduan dibuat, masalah itu terus selesai.
"Perkara itu perlu dikaji dan mungkin memerlukan pasukan tertentu untuk menyelesaikannya. Kita tidak mahu kerja yang cepat tetapi tidak berkualiti, sebaliknya mahu kerja yang berpatutan dan berkualiti," katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Shahrim turut mencadangkan pemantauan susulan dilakukan dalam tempoh 48 jam selepas kerja pembaikan bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

Menurutnya, tidak semua aduan di media sosial memerlukan tindakan serta-merta, namun isu yang boleh menjejaskan keselamatan seperti jalan berlubang, pokok berisiko tumbang, kabel jatuh dan kerosakan longkang perlu diberi perhatian sewajarnya.
Justeru, beliau mencadangkan PBT menyediakan prosedur operasi standard (SOP) atau mekanisme khusus untuk memantau dan mengesahkan aduan di media sosial sebelum disalurkan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan.
"Media sosial memang platform yang sesuai untuk rakyat membuat aduan tetapi saya faham PBT tidak boleh melayan semua aduan dan kadang-kadang aduan itu perlu disahkan sama ada sahih atau sudah lama berlaku.
"Perlu ada satu mekanisme atau SOP untuk memastikan aduan itu sahih dan ada langkah seterusnya," katanya.
Shahrim berkata media sosial semakin menjadi pilihan masyarakat kerana lebih mudah dan pantas, justeru wajar diberi perhatian sebagai medium menyampaikan aduan selain Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), e-mel dan talian hotline.

Beliau turut menyarankan pentadbir akaun rasmi PBT memberi maklum balas awal bagi memaklumkan aduan sudah diterima, sebelum perkembangan tindakan dikemas kini kepada pengadu.
"Jika tindakan dapat dilakukan dalam masa enam atau 12 jam, maklumkan segera apa yang sudah dilakukan.
"Contohnya, jika jalan berlubang sudah ditutup, tunjukkan gambar atau video dan maklumkan aduan itu sudah diselesaikan. PBT perlu proaktif terhadap kes yang dianggap kecemasan atau amat kritikal," ujarnya.
Menurut Shahrim, pendekatan itu penting supaya rakyat mengetahui status aduan mereka, sekali gus memperkukuh komunikasi antara PBT dengan masyarakat.
"Sekarang semuanya di hujung jari. Bagi perkara kritikal, rakyat mahukan tindakan cepat atau sekurang-kurangnya perhatian sewajarnya.
"Saya berharap PBT dan agensi Kerajaan Negeri meningkatkan usaha untuk lebih rapat dengan rakyat melalui media sosial," katanya.
Dalam pembentangan Usul Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) Jumaat lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menggesa semua PBT terus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dengan memberi perhatian serius terhadap setiap aduan dan maklum balas yang diterima, sama ada melalui media sosial atau saluran rasmi.
Katanya, PBT perlu lebih proaktif dalam mendepani cabaran pembandaran dan memenuhi keperluan rakyat.
