Aduan poster kelirukan masyarakat, JHEAIPP batal majlis rumah terbuka

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 4:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

GEORGE TOWN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan pembatalan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 oleh sebuah persatuan di Butterworth susulan aduan yang diterima sebelum program itu digantikan dengan Majlis Jamuan Perpaduan pada 11 April ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, JHEAIPP menerima aduan daripada Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang berhubung cadangan penganjuran majlis rumah terbuka tersebut oleh Persatuan Thean Hock Keong di Jalan Pantai Bersih, Butterworth.

Menurutnya, aduan berkenaan turut melibatkan penyebaran poster yang didakwa menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Bertindak atas aduan tersebut, JHEAIPP telah mengeluarkan arahan pembatalan kepada penganjur pada 31 Mac lalu.

“Ini kerana sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan aktiviti keagamaan masyarakat Islam yang tertakluk kepada kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Mohamad, pihak persatuan berkenaan akur dengan arahan yang dikeluarkan dan telah membatalkan penganjuran majlis tersebut.

"Bagaimanapun, sebagai alternatif, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Zhao Zi Long Pulau Pinang akan menganjurkan Majlis Jamuan Perpaduan bersama penduduk Bagan Ajam pada 11 April ini, jam 8 malam di Dewan Panorama Bagan Ajam," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Koperasi berkata, penganjuran majlis baharu tersebut dibuat atas nasihat Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang.

“Sehubungan itu, segala urusan penyelarasan majlis jamuan perpaduan berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada jabatan tersebut memandangkan ia melibatkan aktiviti perpaduan yang berada di bawah bidang kuasa mereka,” jelasnya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan JHEAIPP telah mengarahkan sebuah persatuan tokong Cina membatalkan rancangan mereka untuk menganjurkan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, dengan alasan bahawa acara tersebut merupakan aktiviti keagamaan Islam yang berada di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri.

Dalam sepucuk surat bertarikh 31 Mac, Pengarah JHEAIPP, Datuk Marzuki Hassan memaklumkan kepada Persatuan Thean Hock Keong di Butterworth bahawa penganjuran acara tersebut adalah 'tidak dibenarkan'.

Jabatan itu menyatakan keputusan tersebut dibuat selepas menerima aduan daripada sebuah persatuan berhubung penganjuran acara berkenaan.

Dalam maklum balas terperinci bertarikh 5 April, Setiausaha Persatuan Thean Hock Keong, Ng Choong Seong melahirkan rasa kesal terhadap pembatalan tersebut sambil menjelaskan tujuan sebenar penganjuran acara itu.

Choong Seong menjelaskan bahawa majlis rumah terbuka itu bertujuan untuk memupuk perpaduan, mengeratkan hubungan persahabatan serta memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat dan bukan bertujuan menimbulkan sebarang sensitiviti.

Beliau berkata, program tersebut dirancang selepas mendapatkan nasihat daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pulau Pinang serta mengadakan perbincangan dengan pemimpin masjid, pemimpin surau dan wakil komuniti setempat yang telah bersetuju dengannya.

Tambahnya, semua makanan yang disajikan adalah halal sepenuhnya dan disediakan oleh perkhidmatan katering milik penduduk tempatan sebagai tanda sokongan kepada komuniti setempat.