Aduhai Izara, Rizky, bila jari terlajak laju, buruk akibatnya

LocalEntertainment
24 Oct 2026 • 11:50 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Aduhai Izara, Rizky, bila jari terlajak laju, buruk akibatnya

HARI ini kecoh soal adab, esok perang mulut dalam media sosial, lusa sibuk pula mengutip serpihan maruah selepas kenyataan sendiri mengundang padah, begitulah realiti drama dunia hiburan.

Anehnya, apabila jari sudah pantas menari di papan kekunci, akal pula seolah-olah tertinggal jauh di belakang. Akhirnya, bukan diri sendiri terpalit lumpur, orang lain pula terkena tempias hingga perlu membasuh selut.

Begitulah kontroversi industri hiburan dua negara yang sempat membara apabila tercetus salah faham membabitkan pelakon popular Malaysia, Izara Aishah, dengan pasangan selebriti terkenal Indonesia, Lesti Kejora dan Rizky Billar.

Insiden bermula di belakang pentas sebuah konsert, kemudian merebak menjadi perbalahan antara netizen Malaysia dengan Indonesia.

Segala-galanya bermula selepas Konsert Tradisional Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan Lesti hadir sebagai artis jemputan khas, manakala Izara pula sebagai penari jemputan.

Selepas acara, Izara menerusi Threads memuat naik teguran terhadap rombongan penyanyi Indonesia itu, mendakwa mereka kurang mesra, memilih bulu ketika bertegur sapa dan hanya menunjukkan keramahan apabila berhadapan individu terkenal atau kenamaan.

Hantaran tersebut kemudian dipadamkan, namun bara sudah terlanjur disambar angin.

Di sinilah timbul persoalan besar, apakah setiap rasa tidak puas hati harus terus dihidangkan kepada khalayak?

Apatah lagi apabila perkara itu membabitkan tetamu dari negara jiran, hadir atas undangan sebuah acara besar seorang biduanita negara.

Kalau benar ada layanan kurang menyenangkan, bukankah lebih molek diselesaikan secara tertutup terlebih dahulu, bukannya terus dilontarkan ke ruang maya sehingga membuka pintu perang persepsi?

Hantaran Izara pantas menarik perhatian Rizky Billar, suami Lesti, yang tampil mempertikaikan tindakan pelakon Malaysia itu menegur secara terbuka.

Siapa pencetus?

Rizky kemudian mendedahkan dakwaan daripada sudut pandangnya, mendakwa seorang pengawal peribadi dipercayai bawah pengurusan Izara mendahului tindakan kasar terhadap anak kecil mereka.

Izara tampil menjelaskan dirinya tidak mengetahui insiden membabitkan anak pasangan itu selain memohon maaf malah meminta netizen menghentikan kecaman, termasuk hinaan fizikal terhadap keluarga Lesti.

Tindakan memohon maaf itu wajar dihargai, tetapi permohonan maaf bukan pemadam ajaib untuk segala kesan daripada sesuatu kenyataan. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Bagi meredakan kemelut, Lesti turut memberikan penjelasan bahawa individu terlibat dalam salah faham berkenaan bukan sebahagian daripada pasukan pengurusan rasminya.

Penjelasan itu sepatutnya menjadi ruang untuk semua pihak menarik nafas dan menilai semula keadaan, namun apabila isu sudah terlepas ke tangan netizen, fakta sering tenggelam di sebalik emosi.

Lebih menyedihkan, pertikaian melibatkan beberapa individu akhirnya mengheret nama rakyat Malaysia dan Indonesia secara keseluruhan sedangkan, salah faham di belakang pentas tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk merendah-rendahkan bangsa, negara atau rupa paras sesiapa.

Akhirnya, Rizky tampil memohon maaf secara terbuka jika kenyataannya sebelum itu mengguris hati masyarakat Malaysia kerana enggan kemelut berpanjangan hingga ke akhirat.

“Sebenarnya, rakyat Malaysia baik-baik belaka,” katanya, berdasarkan pengalaman berkunjung ke negara ini.

Dalam kemelut sama, Izara juga perlu mengambil iktibar besar. Dia bukan orang baharu dalam industri hiburan, malah dikenali sebagai pelakon dan ada hubungan kekeluargaan dengan Biduanita Negara dengan reputasi seni serta imej profesional yang dibina bertahun-tahun.

Status itu bukan bermakna Izara ada lesen besar menegur atau menyuarakan rasa tidak puas hati. Sepatutnya, semakin dikenali, kian besar tanggungjawabnya mengawal tutur kata dan tindakan.

Jangan sampai kerana terlalu ghairah menegur adab orang, adab sendiri ‘ke laut’ dan menjadi persoalan. Apatah lagi apabila acara itu berkait dengan nama besar seperti Siti Nurhaliza.

Selepas meletusnya konflik, kisah lama kesombongan silam Izara kembali diungkit netizen.
Kemunculan cerita lama tersebut memperlihatkan satu hakikat pahit, apabila seseorang membuka ruang untuk orang ramai menghakimi pihak lain, dirinya sendiri turut terdedah kepada penilaian serupa.

The post Aduhai Izara, Rizky, bila jari terlajak laju, buruk akibatnya appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved