ADUN Duyong kumpul RM90,000 dalam masa singkat, bantu baiki rumah terbakar

LocalPolitics
31 Mar 2026 • 12:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Noor Helmy (kanan) bersama agensi menyantuni Makcik Fatimah yang rumahnya terbakar pada Sabtu lalu.

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mempunyai cara tersendiri dalam bertindak pantas mengumpul dana bagi membaiki rumah milik seorang warga emas yang terbakar dalam kejadian Sabtu lalu.

Mohd Noor Helmy pada Selasa meninjau keadaan rumah warga emas tersebut yang terletak di Duyong Tengah bersama wakil agensi berkaitan. Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Beliau yang bertindak sebagai ‘posmen’ berjaya mengumpulkan dana hasil perbincangan ringkas serta beberapa panggilan telefon untuk disalurkan kepada warga emas berkenaan.

“Sebanyak RM80,000 diperlukan untuk kos pembaikan, namun sejumlah RM85,000 berjaya dikumpulkan. Selain itu, tambahan RM5,000 turut diperoleh daripada Persatuan Automotif Melaka menjadikan jumlah keseluruhan RM90,000.

“Sumbangan itu diterima daripada Poay Tiong sebanyak RM20,000, Majlis Agama Islam Melaka (RM20,000), Lembaga Perumahan Melaka (RM20,000), ICU JPM Melaka (RM10,000), Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka (RM5,000), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) (RM5,000), Pejabat Daerah Melaka Tengah (RM4,000), Bank Rakyat Melaka (RM1,000),” katanya.

Menurutnya, wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun warga emas dikenali sebagai Makcik Fatimah bagi membayar kos pembaikan kepada tukang kayu kampung yang akan melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Warga emas itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohd Noor Helmy atas bantuan dihulurkan, namun beliau menegaskan penghargaan sewajarnya diberikan kepada semua penyumbang kerana dirinya hanya berperanan sebagai ‘posmen’.

Difahamkan, warga emas itu akan dipindahkan ke rumah transit sementara menunggu kerja pembaikan disiapkan.

Sementara itu, warganet memuji pendekatan Mohd Noor Helmy yang dilihat lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah berbanding hanya memberikan sumbangan saguhati seperti kebiasaan.

“Terbaik lah...pung pang pung pang nah kau terus dapat RM80,000... kalau kawasan lain pung pang kedebak kedabom baru lepas duit bayar air kotak dengan kuih.. nak repair tu pandai-pandai mangsa lah cari duit sendiri,” tulis Farid Karmin.

Komen tersebut disokong pemilik akaun Zam Zam yang menyifatkan kebiasaan prosedur memerlukan penubuhan jawatankuasa dan mesyuarat sehingga mengambil masa sebelum bantuan diluluskan.

“Betul.. YB lain biasanya baru nak tubuh jawatankuasa bertindak. Kena buat mesyuarat dulu. Bawa mesyuarat exco mohon bantuan.

“Seminggu baru lulus RM5,000 bukannya RM80,000. Nak terima cek masuk bank, seminggu. Akhirnya dekat 2 bulan baru dapat bantuan. YB Mohd Noor Helmy berbual sambil berdiri je terus masuk RM80 ribu... Tak perlu buat jawatankuasa bertindak pun, terus langgar dinding,” katanya.