Adun, MP Bersatu boleh letak jawatan dalam parti, ia tidak bermaksud lompat parti: Wan Saiful

LocalPolitics
22 Feb 2026 • 11:52 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Peraturan anti lompat parti tidak terpakai jika seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ahli Parlimen (MP) Bersatu meletak jawatan dalam parti bagi menolak penguasaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, peletakan jawatan dalam parti tidak bermaksud melompat parti.

Beliau berkata demikian bagi menjawab mengenai pembubaran Jawatankuasa Bersatu bahagian Pendang yang diketuai oleh Adun Sungai Tiang dan Timbalan Speaker DUN Kedah, Razak Khamis.

Wan Saiful, yang dipecat dari Bersatu pada tahun lepas berkata, pembubaran jawatankuasa itu melambangkan akar umbi Bersatu mahukan Adun mereka mengikut langkah yang dimulakan oleh 19 Ahli Parlimen yang telah hilang kepercayaan kepada Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu.

“Tetapi wujud persoalan adakah peraturan anti lompat parti terpakai jika seseorang Adun atau MP keluar parti.

“Untuk menjawab soalan yang diajukan kepada saya oleh ramai Adun-Adun Bersatu, saya nyatakan bahawa langkah YB Razak Khamis selaku Ketua Bahagian Pendang menjawab persoalan ini, iaitu seseorang Adun atau MP boleh meletak jawatan parti seperti jawatan Ketua Bahagian sebagai tanda menolak penguasaan Azmin-Muhyiddin dalam Bersatu, tetapi tidak keluar parti,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook.

Difahamkan lebih 30 Bahagian Bersatu di seluruh negara mengumumkan pembubaran jawatankuasa masing-masing selepas Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat dari jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Wan Saiful juga berkata, rakyat akan menghukum mana-mana ahli politik yang meletakkan kepentingan peribadi lebih tinggi dari perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Biarkan pasangan Azmin-Muhyiddin bermain dengan perkara teknikal seperti Bahagian tidak terbubar apabila AJK meletak jawatan.

“Itu sajalah propaganda yang mereka mampu. Hakikatnya apabila sebegitu ramai AJK meletak jawatan, maka jawatankuasa Bahagian itu telah terbubar dan Bahagian itu menjadi lumpuh,’’ katanya.

Wan Saiful turut menyentuh mengenai ‘Reset Malaysia’ bagi membuktikan kepada rakyat dan pengundi bahawa mereka kesetiaan mereka adalah kepada perjuangan membela nasib rakyat serta membina bangsa dan negara, bukan perjuangan untuk mengangkat kepentingan peribadi Azmin dan Muhyiddin sahaja. - 22 Februari, 2026

The post Adun, MP Bersatu boleh letak jawatan dalam parti, ia tidak bermaksud lompat parti: Wan Saiful appeared first on Scoop.