
SANDAKAN: Seorang wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) yang kehilangan tempat tinggal kini mendapat tempat untuk berlindung menerusi bantuan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Datuk George Hiew dan penduduk Kampung Gelam Laut, disini.
Wanita itu yang kehilangan sebelah kaki dan hidup sebatang kara tanpa waris serta pendapatan, sebelum ini menumpang di rumah sebuah keluarga di kampung tersebut.
Namun, oleh sebab yang tidak dapat dielakkan, keluarga tersebut terpaksa mengosongkan rumah itu dan wanita berkenaan kehilangan tempat berteduh dan bergantung kepada ihsan orang kampung.
Selepas ketua kampung memberitahu perkara tersebut kepada George, beliau segera melawat warga emas tersebut dan cuba untuk mencari jalan penyelesaian.
Selepas meneliti situasi yang dihadapi, George memberikan sumbangan untuk bahan binaan bagi membolehkan sebuah rumah kecil didirikan di atas sebidang tanah kosong di kampung itu.
Manakala penduduk kampung itu bergotong-royong dan menyumbangkan tenaga bagi menyiapkan rumah tersebut.
Rumah itu kini telah siap dibina dan wanita terbabit juga telah berpindah masuk.
Sementara itu, wakil dari pejabat George, Yap Hsiu Min turut menyampaikan sumbangan bakul makanan dan barangan keperluan harian bagi membantu warga emas itu memulakan kehidupan baharu.
“Tidak ada sesiapa yang harus diabaikan, lebih-lebih lagi dalam keadaan seperti ini,” jelas George.
“Apabila masyarakat dan pemimpin berganding bahu, kita mampu membawa perubahan,” tambah George.
Beliau menambah, pasukannya akan terus komited membantu mereka yang memerlukan, khususnya individu yang hidup tanpa sokongan keluarga.




