
KUALA LUMPUR — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim, hari ini mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan berundur daripada dunia politik.
Beliau yang merupakan wakil rakyat DAP yang memenangi kerusi Skudai pada PRN Johor pada Mac 2022 itu berkata keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dengan individu yang sentiasa berada bersamanya sepanjang perjalanan politiknya.
"Kini, saya memilih untuk kembali kepada sesuatu yang amat dekat di hati saya sejak dahulu lagi iaitu berada di lapangan, menyantuni masyarakat dan meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sebelum saya melangkah ke dunia politik,'' katanya menerusi hantaran di Facebook.
Marina berusia 34 tahun ketika memenangi kerusi Skudai dengan majoriti lebih 13,000 undi, mengatasi pencabar terdekatnya daripada MCA-Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan tiga penjuru.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukannya serta penduduk Skudai yang telah menyokong tugasnya sebagai Adun, sambil memohon maaf atas sebarang kekurangan sepanjang perkhidmatannya.
"Dalam tempoh ini, saya akan terus komited melaksanakan tugasan di lapangan sehinggalah Adun seterusnya dilantik.
"Terima kasih atas segala kenangan, pengalaman dan kepercayaan yang telah diberikan,'' katanya.
Marina menjadi wakil rakyat pertama Pakatan Harapan (PH) di Johor yang mengumumkan tidak akan bertanding semula dan bersara daripada politik menjelang pilihan raya negeri yang dikatakan akan diadakan tahun ini, meskipun penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hanya akan berakhir pada suku pertama tahun hadapan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada Umno-Barisan Nasional (BN), sebelum ini memaklumkan BN akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada pilihan raya negeri akan datang tanpa kerjasama dengan sekutunya di peringkat Persekutuan, Pakatan Harapan.
The post Adun Skudai, Marina Ibrahim umum tidak tanding PRN Johor, undur dari politik appeared first on Scoop.






