Aeon Bank dilancar secara rasmi, bank Islam digital pertama di Malaysia
herman
27/05/2024 - 09:37
KUALA LUMPUR 27 Mei - Aeon Bank (M) Berhad dilancarkan secara rasmi kepada pengguna di negara ini pada 26 Mei 2024 sekali gus menjadi bank Islam digital pertama Malaysia.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Aeon Mall, Shah Alam itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican bersama Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Bank, Raja Teh Maimunah dan Pengarah Urusan Aeon Malaysia, Naoya Okada.
Hadir sama Pengerusi Aeon Financial Service Co Japan, Shunsuke Shirakawa, Pegawai Eksekutif Pengurusan Aeon Financial Service Co Ltd Japan, Mitsugu Tamai, Pengarah rusan Aeon Credit Service (M) Berhad, Daisuke Maeda serta Pengerusi Aeon Bank Malaysia, Tomokatsu Yoshitoshi.
Pada masa ini, Aeon Bank menawarkan perkhidmatan produk perbankan peribadi digital seperti Akaun Simpanan-i, tabungan simpanan dengan ciri-ciri pengoptimuman yang boleh disesuaikan, alat-alat perancangan belanjawan dan banyak lagi yang akan datang dalam masa yang terdekat.
Pengguna yang mengaktifkan akaun mereka akan dapat segera mengakses Kad Debit-i Aeon Bank x Visa mereka secara dalam talian dan meminta Kad Debit-i fizikal mereka sendiri.
Raja Teh Maimunah berkata, misi Aeon Bank menawarkan penyelesaian perbankan digital patuh syariah yang selamat, dipermudahkan, dan inklusif kepada semua rakyat Malaysia.
Katanya, ketika ini Aeon Bank dalam fasa awal dan akan terus memperkenalkan lebih banyak produk dan ciri-ciri untuk pelanggan perbankan peribadi.

Ujar beliau, seiring berjalannya waktu, Aeon Bank akan memperluas produk dan perkhidmatan kepada perniagaan kecil.
"Kami sangat rendah diri dan dihormati atas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk membina dan membangunkan Bank Digital Islam pertama Malaysia.
"Ini merupakan tonggak penting bagi Kumpulan Aeon di Malaysia selepas 40 tahun berada di negara ini.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sambutan yang menggalakkan sehingga kini," katanya dalam kenyataan media.
Eksklusif sempena pelancaran, para pelanggan Aeon Bank yang mengaktifkan akaun mereka akan layak untuk bonus pendaftaran sebanyak 3,000 Mata Ganjaran Aeon dan 3X Mata Ganjaran Aeon dengan transaksi menggunakan Kad Debit-i Aeon Bank x Visa, selain daripada kadar keuntungan sebanyak 3.88% setahun.
Selain itu, pelanggan-pelanggan yang terlibat dalam Program Mata Ganjaran Aeon akan secara automatik mempunyai keahlian mereka dikaitkan dengan aplikasi Aeon Bank, yang akan membolehkan mereka menikmati faedah dan ganjaran tambahan apabila mereka membuat pembayaran di kedai-kedai dan peniaga-peniaga Kumpulan Aeon.
Mata ganjaran Aeon yang dikumpul kemudian boleh ditukarkan kepada wang tunai yang akan dikreditkan dalam akaun Aeon Bank.- DagangNews.com


