johardy25/05/2026 - 17:45 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Mei - AEON Bank (M) Bhd mengumumkan pelantikan Mohammad Ridzuan Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya berkuat kuasa 22 Mei, menjadikan beliau peneraju baharu dalam fasa pertumbuhan bank digital Islam pertama di Malaysia itu.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai bertanggungjawab (officer-in-charge) sejak April 2026 dan pernah menjadi pengarah bukan eksekutif bebas yang terlibat dalam pembangunan perbankan digital AEON Bank sejak sebelum pelaksanaan proses readiness review operasi, menurut kenyataan bank itu pada Isnin.
Mohammad Ridzuan menggantikan Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz yang melepaskan jawatan CEO pada 31 Mac 2026 bagi menerajui Bank Islam Malaysia Bhd.
AEON Bank menyatakan lembaga pengarah yakin dengan kepimpinan dan strategi beliau, berdasarkan pengalaman luas dalam kewangan korporat, pengurusan risiko, keselamatan siber, pencegahan pengubahan wang haram (AML), pengesahan identiti digital serta rangka kerja fintech dan teknologi pengawalseliaan (regtech).
“Berpandukan visi kukuh terhadap masa depan perbankan digital, Ridzuan akan menerajui fasa pertumbuhan seterusnya bank ini, memperkukuh komitmen untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang lebih mudah diakses serta membina masa depan kewangan yang lebih inklusif untuk semua,” kata AEON Bank.
Sepanjang kerjayanya, Mohammad Ridzuan pernah berkhidmat di Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Beliau kini turut terlibat dengan Fintech Association of Malaysia, Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) serta beberapa universiti tempatan. Sebelum ini, beliau juga pernah menjadi ahli MIPC yang diterajui kerajaan serta pengarah bukan eksekutif bebas di DearTime Bhd.
AEON Bank yang dilancarkan secara rasmi pada 26 Mei 2024 dimiliki bersama secara sama rata oleh AEON Credit Service (M) Bhd dan AEON Financial Service Co Ltd. - DagangNews.com





