Aeon Big tawar diskaun hingga 30% peralatan dan pakaian sukan melalui Program Inisiatif Sukan Rahmah
zulfadli
02/08/2023 - 11:42
KUALA LUMPUR 2 Ogos - Aeon Big Sdn Bhd melancarkan Program Inisiatif Sukan Rahmah bagi mempromosi dan menyokong aktiviti sukan tempatan, selain membina hubungan lebih kukuh dalam kalangan komuniti.
Melalui program tersebut, pembeli boleh menikmati diskaun sebanyak 10% hingga 30% untuk lebih 100 jenis peralatan dan pakaian sukan di pasar raya itu.
Promosi ini bermula 1 Ogos hingga 14 Oktober 2023, dan bertepatan dengan sambutan Hari Sukan Negara yang akan berlangsung pada awal Oktober nanti.
Pengarah Urusan Aeon Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, pihaknya amat berbesar hati atas kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dalam meneruskan inisiatif Rahmah melalui amalan sukan
dan gaya hidup yang sihat.
Beliau berkata, mereka sentiasa menyokong hasrat kerajaan dalam misi membantu golongan yang memerlukan.
"Aeon Big telah menyambut baik insiatif Payung Rahmah cetusan idea Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dan kami ingin memperkembangkan lagi usaha ini ke bidang sukan.
"Kami sentiasa bersedia untuk bergerak bersama bagi memastikan kelangsungan hidup dan keadaan ekonomi dan sosial sentiasa seimbang.

"Bidang sukan pula merupakan salah satu bidang yang amat dekat di hati kebanyakan rakyat Malaysia. Kami amat bersyukur kerana mempunyai peluang untuk mendekatkan lagi ekosistem kami dengan sukan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Antara objektif Program Inisiatif Sukan Rahmah ini adalah membuka lebih banyak akses kepada golongan kurang berkemampuan untuk memiliki peralatan sukan sekali gus membantu mereka mengembangkan bakat sukan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Penglibatan Aeon Big dalam bidang sukan bukanlah sesuatu yang baharu. Dengan falsafah untuk menawarkan “pelbagai pilihan dengan nilai yang hebat” kepada pelanggan, kerjasama dan penajaan bersama beberapa badan sukan negara adalah salah satu bukti usaha berterusan Aeon Big untuk menyokong aktiviti sukan dan gaya hidup sihat di Malaysia.

Tahun ini, Aeon Big menjalinkan beberapa kerjasama dengan Malaysian Football League, Selangor FC dan Liga Besbol Kebangsaan.
Inisiatif Sukan Rahmah yang digiatkan Aeon Big diharap dapat menggalakkan lagi promosi dan penglibatan komuniti serta orang ramai dalam arena sukan tempatan, di samping mengukuhkan lagi hubungan sihat dalam komuniti dan seterusnya membina masyarakat yang lebih aktif, sihat serta berdaya saing. - DagangNews.com
