Aeon Fantasy Malaysia perkenal mainan pendidikan STEM jenama Artec dari Jepun
zulfadli
04/10/2023 - 14:28
KUALA LUMPUR 4 Okt - Penyedia rumusan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan dan pengedar tunggal produk pendidikan dari Artec Co Ltd berpangkalan di Jepun, Tech Up Sdn Bhd mengumumkan Aeon Fantasy Malaysia memilih Artec Logic Puzzles untuk ditawarkan di sudut Toy Master.
Toy Master adalah sudut edutainment baharu yang pertama kali dibuka tahun lepas oleh Aeon Fantasy, yang terletak di dalam pelbagai fasiliti kanak-kanak termasuk kidzooona dan FANPEKKA.
Artec Logic Puzzles itu telah mula ditawarkan di tiga fasiliti kidzooona di Kota Bharu, Alor Setar dan Shah Alam.
Pengarah Urusan Aeon Fantasy Malaysia, Narimoto Yamazaki berkata, pihaknya merancang untuk membuka lebih banyak sudut Toy Master di seluruh Malaysia menjelang 2024 dan menggabungkan Artec Logic Puzzles sebagai sebahagian daripada produk mereka.
Beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada keupayaan kanak-kanak semasa mereka boleh belajar melalui bermain.
"Sudut Toy Master kami meningkatkan kemahiran pembangunan pembelajaran kanak-kanak terutamanya pada kemahiran kognitif dan produk Artec Logic Puzzles sejajar dengan strategi kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tech Up, Ainaa Rosli pula berkata, pendekatan progresif yang diperkenalkan dalam Artec Logic Puzzles mengajar kanak-kanak pemikiran analitikal dan kemahiran membuat keputusan.

"Pendedahan seperti ini dapat membantu memupuk minat terhadap STEM di kalangan kanak-kanak. Kami bersyukur dapat bekerjasama dengan Aeon Fantasy Malaysia, dan membina asas untuk anak-anak bersedia untuk masa depan mereka.
“Kami gembira kerana produk edutainment semakin diterima dalam masyarakat kita. Kerjasama ini membawa kita selangkah lebih dekat untuk mewujudkan generasi yang lebih celik STEM dan ini suatu langkah positif ketika negara kita sedang berusaha untuk tingkatkan pendigitalan dengan lebih pesat lagi," katanya.


Logic Puzzles ini sesuai untuk kanak-kanak peringkat umur dari tadika hingga darjah 1, 2, dan 3 dan menggunakan pendekatan progresif untuk membantu kanak-kanak mengembangkan kemahiran mereka.
Tech Up mula membekalkan bahan pendidikan kepada Aeon Fantasy Malaysia pada 2022, dan kini, pada 2023, hubungan ini berkembang lebih jauh dengan pengenalan Artec Logic Puzzles di sudut Toy Master.


Selain daripada Artec Logic Puzzles ini, Tech Up juga menyediakan program latihan komprehensif TechXpert Toy Master untuk tingkatkan kepakaran mereka supaya dapat memberi kanak-kanak pengalaman edutainment yang terbaik. - DagangNews.com



