PERSATUAN Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) menghormati keputusan syarikat bas premium Aeroline untuk mengundurkan diri daripada pasaran Kuala Lumpur, namun berharap syarikat itu dapat mengekalkan operasi di beberapa lokasi strategik yang telah diluluskan.
Presiden MITA, Mint Leong berkata, setiap syarikat berhak membuat keputusan operasi berdasarkan model perniagaan, struktur kos serta kedudukan pasarannya.
Menurutnya, Aeroline sudah lama mengetengahkan perkhidmatan bas jarak jauh premium, dengan nilai jenamanya dibina atas pengalaman perkhidmatan tertentu dan kelompok pelanggan khusus.
"Oleh itu, pertimbangan syarikat tersebut adalah difahami. Namun begitu, dari sudut industri pelancongan dan pengguna, MITA berpendapat Aeroline juga wajar mempertimbangkan untuk terus menggunakan beberapa lokasi operasi yang telah diluluskan.
"Ia termasuk hentian bas di Pusat Beli-Belah 1 Utama, Lalaport, IOI City Mall, serta mempertimbangkan terminal utama seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG).
"Ini bagi mengekalkan liputan perkhidmatan di pasaran Kuala Lumpur dan terus berkhidmat kepada penumpang yang sekian lama menyokong jenamanya. Lagipun, menurunkan dan mengambil penumpang di tepi jalan adalah tidak selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Aeroline dilaporkan mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada pasaran Kuala Lumpur.
Mengulas perkembangan itu, Leong berkata, keseimbangan antara kemudahan pengangkutan pelancongan dan persaingan pasaran perlu dikekalkan demi manfaat pengguna serta pertumbuhan industri.
Katanya, hab transit bas di Lalaport kini menawarkan tambang serendah RM59, iaitu kira-kira 50 peratus lebih rendah berbanding tambang Aeroline yang mencecah RM128.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa persaingan sihat merupakan elemen penting dalam mendorong peningkatan kualiti perkhidmatan, rasionalisasi harga dan inovasi produk.
"Dengan peningkatan jumlah pelancong bebas atau Free Independent Travellers (FIT), pasaran memerlukan pelbagai pilihan pengangkutan dan produk pelancongan yang mampu memenuhi keperluan segmen pelanggan yang berbeza.
"Ada perkhidmatan premium, pasaran pertengahan dan pasaran massa. Setiap segmen mempunyai nilai serta permintaan tersendiri," katanya.
Menurut beliau, keutamaan MITA adalah memastikan rangkaian pengangkutan pelancongan negara kekal menyeluruh, mudah diakses dan berdaya saing tanpa bergantung kepada kehadiran mana-mana satu syarikat sahaja.
Leong berkata, pelancong lazimnya menilai sesuatu destinasi berdasarkan keseluruhan pengalaman perjalanan yang ditawarkan, termasuk aspek ketersambungan pengangkutan awam, pilihan perkhidmatan bas, ketelusan harga dan kemudahan mobiliti.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak berkepentingan termasuk Aeroline, pengusaha pengangkutan dan pemain industri pelancongan dapat meneruskan perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik yang memenuhi keperluan pelancong serta pembangunan pasaran.
