Aerotrain KLIA T1 Akan Kembali Beroperasi 24 Jam Penghujung Bulan Ini

6 May 2026 • 9:50 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akan kembali beroperasi selama 24 jam pada penghujung bulan ini menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam.Menurut beliau Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah melengkapkan semua ujian Aerotrain dengan laporan sedang dilengkapkan untuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Aerotrain kembali beroperasi sepenuhnya pada 1 Julai tahun lalu selepas dua tahun dihentikan bagi proses naik taraf. Tetapi tidak sampai tiga hari, pelbagai isu muncul dengan perkhidmatan tergendala dengan kerap. Sebagai langkah mitigasi, perkhidmatan Aerotrain dihentikan pada waktu tidak puncak untuk menjalani proses penyelenggaraan harian.

Image from: Aerotrain KLIA T1 Akan Kembali Beroperasi 24 Jam Penghujung Bulan Ini
Aerotrain

Aerotrain pada asalnya dihentikan operasi pada Mac 2023 kerana pelbagai isu kerosakan memandangkan ia sudah terlalu usang. Ia memulakan operasi pada tahun 1998 dengan ia menyambungkan terminal utama dengan terminal satelit A.

Dalam sejarah operasi selama 25 tahun, berlaku beberapa insiden kerosakan yang menyebabkan operasi dihentikan seketika. Sejak operasi dihentikan untuk pergi ke terminal satelit A, penumpang biasa perlu menaiki bas sementara perkhidmatan kenderaan mewah ditawarkan untuk penumpang kelas perniagaan.