Aestom cadang kuasa mutlak menteri berkaitan kawalan pengurusan LPPM diberi perhatian

20 Mar 2024 • 10:48 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aestom cadang kuasa mutlak menteri berkaitan kawalan pengurusan LPPM diberi perhatian

zulfadli

20/03/2024 - 10:48

KUALA LUMPUR 20 Mac - Persatuan Bekas Kakitangan Tourism Malaysia (Aestom) mencadangkan supaya kuasa mutlak menteri berkaitan dengan kawalan pengurusan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) diberi perhatian khusus.

Pengerusi Aestom, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab Beg mendakwa, ia berikutan tindakan beberapa menteri sebelum ini terhadap pengurusan LPPM yang berpaksikan kuasa mutlak dalam Akta LPPM, tanpa rujukan dan nasihat jelas daripada badan pengawal, membawa lembaga dalam keadaan kontroversi.

"Kami harap supaya pihak berkaitan, terutama pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) dan Lembaga LPPM dapat memberi perhatian lebih serius.

"Ia bagi memperkukuhkan peranan Jawatankuasa Kenaikan Pangkat dan Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib, demi memelihara integriti jabatan serta maruah pegawai perkhidmatan awam secara keseluruhan," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah LPPM, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar didakwa ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa 26 Februari lalu.

Difahamkan, ia berikutan beliau didakwa 'tidak sehaluan' dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Penamatan itu berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung perkara berkenaan.

image is not available
Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab Beg

Menurut Mirza Mohammad, peranan LPPM, MoTAC dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai badan pengawal seharusnya bertindak mengikut bidang kuasa masing-masing dan tidak hanya menyerah kepada pihak lain.

"Kami yakin bahawa kepimpinan MoTAC yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan ini, peka dengan keperluan bagi mengekalkan imej positif jabatan demi memelihara semangat kerja kakitangan dalam mencapai misi jabatan serta matlamat pelancongan negara yang akan memberi perhatian kepada perkara ini," katanya. - DagangNews.com