Affin Bank: Premier Sarawak tidak tolak kerajaan negeri ambil alih

Politics
17 Jan 2024 • 5:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Affin Bank: Premier Sarawak tidak tolak kerajaan negeri ambil alih

diyana

17/01/2024 - 17:03

KUCHING 17 Jan - Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri akan mengambil alih sebuah bank perdagangan di negara ini sebagai satu lagi entiti untuk ditadbirnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu yang dilaporkan media baru-baru ini mengenai hasrat kerajaan negeri untuk menambah pegangan dalam Affin Bank Bhd sehingga 20%.

"Saya tak berani komen kerana Affin sebuah syarikat tersenarai," katanya kepada pemberita, di Kuching, hari ini, lapor Bernama.

Ditanya sama ada perkembangan ini menggambarkan entiti ketiga yang ingin diambil alih kerajaan negeri, beliau berkata, "Kata orang, kalau tak ada angin, tak akan bendera bergoyang."

image is not available
Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Pada Jumaat lepas, Abang Johari berkata Sarawak menyasar untuk mengambil alih satu lagi entiti yang akan merancakkan sektor perniagaan dan keusahawanan negeri tersebut.

Tanpa mendedahkan entiti tersebut, beliau berkata pengambilalihan itu akan diumumkan dalam masa beberapa bulan lagi dan ia merupakan satu daripada tiga entiti utama yang akan menjadi milik penuh kerajaan negeri pada tahun ini.

"Terdapat tiga perkara yang kita rancang ambil alih pada 2024. Satu sudah (Pelabuhan Bintulu), yang kedua tunggu nanti saya beritahu dan yang ketiga sudah tentu, MASWings Sdn Bhd.

“Kemudian (selepas pengambilalihan itu), kita akan mempunyai keseluruhan sistem ekonomi untuk Sarawak," katanya.

Pada 8 Januari 2024, Affin Bank Bhd dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai pemegang saham utamanya mengesahkan sedang berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak untuk "kemungkinan urus niaga membabitkan saham tambahan".

Bank itu berkata Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak memiliki 4.796% saham Affin Bank pada 29 Disember 2023 dan berminat untuk memperoleh tambahan 15% daripada LTAT yang secara langsung memiliki 29.7% kumpulan perbankan itu.

Sementara itu, anak syarikat milik penuh LTAT, Boustead Holdings Berhad memegang 20.65% kepentingan. - DagangNews.com