Agape perkenal pelan pengembangan dan inisiatif hijau, rancang projek solar 300MW di Sabah
zulfadli
24/01/2024 - 18:41
KUALA LUMPUR 24 Jan - Agape ATP Corporation mengumumkan langkah syarikat untuk memajukan inisiatif kelestarian tenaga hijau sempena penyenaraian Nasdaq, baru-baru ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Global ATPC, Datuk Seri Dr How Kok Choong berkata, sambil pihaknya meneruskan kerjasama penting dengan pelbagai syarikat, mereka sangat teruja untuk berada di barisan hadapan peralihan tenaga hijau Malaysia.
"Inisiatif kami untuk menubuhkan 50 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Pahang, ditambah pula dengan rancangan untuk mewujudkan ladang solar 300 megawatt-peak (MWp) di Sabah, adalah satu langkah berani ke arah komitmen kami terhadap pembangunan mampan.
"Usaha ini yang dipertingkatkan oleh perkongsian kami, adalah bukti bagaimana kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan korporat boleh wujud bersama dengan jayanya. Kami bersedia untuk masa depan yang mana tenaga hijau bukan sekadar pilihan, tetapi penggerak untuk inovasi dan kemakmuran," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Agape berkata, memorandum perjanjian dengan Volt Industries Sdn Bhd pada November 2023, menandakan peristiwa penting dalam usaha kerjasama kedua-dua pihak.
Walaupun pemerolehan 51% kepentingan dalam VOLT kini adalah peringkat akhir, kerjasama itu dijangka memainkan peranan penting dalam Inisiatif Kelestarian Tenaga Hijau ATPC.
Sementara itu, susulan memorandum perjanjian yang ditandatangani pada November 2023 antara ATPC dan Oriental Industries Enterprise Sdn Bhd, pakar dalam industri basikal EV, kedua-dua syarikat menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV), dengan masing-masing memegang saham sebanyak 50%, memfokuskan pada pengedaran dan pemasaran basikal EV.
Sempena kerjasama tersebut, majlis tersebut menampilkan pameran basikal EV yang akan dipasarkan di bandar-bandar utama, terutamanya di Lembah Klang, selepas pemeriksaan dan mendapat kebenaran daripada SIRIM.
"Seterusnya menyumbang kepada gelombang inisiatif mampan ini, VOLT memeterai memorandum persefahaman (MoU) secara bebas dengan KAB Smart Solar Energy Sdn Bhd," katanya.
Katanya, perjanjian itu membuka ruang untuk kerjasama dalam perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan khusus untuk sistem solar fotovoltaik menonjolkan sinergi antara kepakaran stesen pengecas EV VOLT dan kecekapan KAB Smart Solar dalam bidang tenaga suria. - DagangNews.com


