
KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menggugurkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan penggubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Disember tahun lepas.
Dengan penarikan balik rayuan ini, keputusan Mahkamah Tinggi kini menjadi muktamad.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Rosmah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan menyatakan keputusan Hakim Muniandy terhadap pembebasan anak guamnya adalah wajar dan adil.
“Kami berasa lega kerana beliau (Rosmah) telah dibenarkan bebas sepenuhnya daripada pertuduhan itu. Keseluruhan proses ini telah menjadi ujian berat bagi beliau dan kami berbesar hati melihat keadilan akhirnya ditegakkan dan kes telah ditutup secara muktamad,” kata peguam itu, lapor Bernama.
Notis penarikan balik rayuan yang dikemukakan pendakwa raya di Mahkamah Rayuan pada 9 Disember, menyatakan mereka tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan tersebut.
“Tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan) pada 19 Disember 2024, pendakwa raya telah memberi notis untuk merayu bertarikh 20 Disember 2024. Pendakwa raya memberi notis untuk tidak berhasrat meneruskan rayuan tersebut,” menurut notis itu.
Berdasarkan surat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, pengurusan kes yang telah ditetapkan pada 22 Dis ini, dilapangkan dan rayuan tersebut terbatal sebagaimana diperuntukkan di dalam Aturan 73, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.
Mahkamah Tinggi pada 19 Disember lalu membebaskan dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Semua pertuduhan itu membabitkan sembilan tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.
Manakala lapan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.
Dalam penghakimannya, Hakim K. Muniandy berkata pertuduhan itu gagal memperincikan sifat transaksi melibatkan hasil haram atau bagaimana Rosmah terlibat secara langsung.
Mengenai tuduhan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 pula, hakim berkata terdapat pendapatan yang tidak didedahkan kepada LHDN.
Berikutan itu, AGC memfailkan notis rayuan, sehari selepas keputusan diumumkan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Rosmah membatalkan semua 17 pertuduhan pengubahan wang haram ke atasnya. - 11 Disember, 2025
The post AGC tarik balik rayuan dalam kes pengubahan wang haram, elak cukai, Rosmah kekal bebas appeared first on Scoop.
