Agensi Antidadah Kebangsaan laksana program pencegahan dadah di Pulau Banggi

26 May 2026 • 5:11 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Agensi Antidadah Kebangsaan laksana program pencegahan dadah di Pulau Banggi

KUDAT: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) baru-baru ini melaksanakan program pencegahan dadah di Pulau Banggi menerusi pendekatan “turun padang” yang agresif bagi memperkasakan komuniti pada peringkat akar umbi.

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan media berkata program menerusi kempen Jerayawara Skuad Antidadah Dua Roda bersempena Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) 2026 itu bertujuan memperhebat sinergi perlindungan bersama institusi masyarakat kampung.

“Kita terus menjalankan satu pendekatan turun padang terus kepada komuniti, keluarga dan masyarakat kampung.

“Ini kerana kempen pencegahan dadah bukan lagi berpusat pada peringkat atasan tetapi ia perlu benar-benar turun ke bawah,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata anjakan paradigma itu memastikan agenda pencegahan dadah negara bergerak secara organik sekali gus mampu membuka mata masyarakat agar lebih sedar terhadap bahaya ancaman tersebut.

“Apabila program turun padang sedemikian kerap diadakan, ia secara tidak langsung akan mendorong penduduk setempat untuk sentiasa mengamalkan aktiviti dan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.

Ruslin berkata melalui program JABD, inisiatif berkenaan tidak direkayasa berasaskan kepada satu negeri sahaja malah pelaksanaannya disasarkan secara menyeluruh ke seluruh negara.

Terdahulu majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi Datuk Mohammad Mohamarin dan turut dihadiri Pengarah AADK Sabah Elmariah Chung.