Agensi perhubungan awam Malaysia, Perspective Strategies rangkul tiga anugerah emas Anugerah PR Global di AS

6 Nov 2023 • 9:38 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Agensi perhubungan awam Malaysia, Perspective Strategies rangkul tiga anugerah emas Anugerah PR Global di AS

zulfadli

06/11/2023 - 09:38

KUALA LUMPUR 6 Nov - Agensi perhubungan awam (PR) Malaysia, Perspective Strategies membawa pulang tiga anugerah emas dalam kategori pemasaran agensi/promosi, acara dan komunikasi kepada Gen-Z, pada Anugerah Amalan Terbaik Rangkaian Global Perhubungan Awam (PRGN) ke-12, di San Francisco, Amerika Syarikat (AS), sempena Persidangan PRGN 2023 baru-baru ini.

Selain itu, agensi tersebut turut merangkul anugerah perak dalam kategori Pro Bono Work dan satu anugerah gangsa dalam kategori kemampanan.

Rakan Kongsi dan Pengarah Eksekutif Perspective Strategies, Tan May Lee berkata, ia adalah bukti kekukuhan daripada segi diversiti tenaga kerja dan kepelbagaian organisasi pihaknya, serta semangat bersama untuk membentuk naratif yang bermatlamat.

"Kami turut menghargai klien kami atas kepercayaan mereka dalam mengusahakan pelan komunikasi mereka dengan berkesan.

"Pencapaian kami hari ini bukan sahaja mencerminkan kualiti perkhidmatan yang kami berikan, tetapi ia menjadi bukti bahawa firma butik tempatan seperti kami mampu berdaya saing dengan firma lain di peringkat global," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu, terdapat 24 kategori secara keseluruhan bagi Anugerah Amalan Terbaik PRGN untuk tahun ini termasuk kategori hal ehwal awam, perhubungan pelabur, pemasaran kandungan dan pengoptimuman enjin carian (SEO) serta kempen pempengaruh.

Untuk anugerah emas bagi kategori komunikasi kepada Gen-Z, kempen 'Membentuk Graduan Sedia Industri' yang direka untuk Petronas Lubricants International (PLI) memanfaatkan pelbagai penceramah dan tetamu khas seperti George Russell, iaitu pemandu Formula Satu untuk pasukan Mercedes-AMG Petronas F1, untuk berinteraksi dengan pelajar daripada pelbagai universiti swasta dan awam.

image is not available

Siri itu berfungsi sebagai platform peneraju minda untuk PLI bagi menjalin hubungan dengan bakal pelanggan serta penggiat industri.

Perspective Strategies turut melancarkan Strategi dan Amalan Kelestarian serta Akademi Kepimpinan Komunikasi, sebuah jenama di bawah Perspective Strategies yang menyediakan perkhidmatan pembinaan kapasiti.

Usaha ini adalah untuk mencapai aspirasinya menjadi agensi perhubungan awam dan strategi komunikasi yang terkemuka di Malaysia. - DagangNews.com