Konsep micro-travel ataupun percutian singkat adalah satu cara baik untuk mana-mana individu mengambil masa terluang untuk beristirehat di destinasi-destinasi dekat tanpa komitmen masa dan wang yang terlalu banyak.
Platform percutian terkemuka Agoda baru-baru ini telah mengeluarkan senarai tentang lokasi-lokasi micro-travel paling popular di Asia. Menariknya, dua bandar Malaysia telah tersenarai; iaitu Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang menjadi lokasi popular untuk percutian singkat berdasarkan tempahan bilik untuk satu malam di platform tersebut.

Kuala Lumpur menduduki tangga pertama di carta tersebut, manakala Pulau Pinang pula berada di kedudukan kesembilan. Kedua-dua lokasi dilihat hadir dengan pelbagai lokasi yang boleh dilawat dalam masa yang singkat, dan satu lagi tarikan utama ialah tawaran pelbagai makanan yang boleh dinikmati oleh sesiapapun apabila mereka berada di bandar-bandar ini.
Fabian Teja, Pengarah Negara Agoda bagi Malaysia dan Brunei berkata, “Pelancong masa kini mencari cara yang bijak dan fleksibel untuk bercuti walaupun dengan kekangan masa. Micro travel membolehkan anda berehat dan menyegarkan diri tanpa memerlukan cuti panjang atau perancangan rumit. Destinasi seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang membuktikan bahawa satu malam sahaja sudah memadai untuk menawarkan pengalaman yang hebat dan tidak dapat dilupakan, terasa sama berbaloinya seperti perjalanan yang lebih lama.”

